TAPAH – Jumlah pasukan bomba komuniti yang ditubuhkan di kawasan rekreasi di negeri Perak masih rendah, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.
Menurutnya, situasi itu dilihat membimbangkan memandangkan negeri ini mempunyai banyak lokasi tumpuan orang ramai seperti kawasan laut, sungai, air terjun dan sebagainya.
Justeru beliau meminta semua pengusaha pusat rekreasi terutama yang berhampiran kawasan air supaya bekerjasama dengan pihak bomba bagi menubuhkan pasukan bomba komuniti masing-masing.
“Menempatkan penyelamat atau ‘lifeguard’ sahaja tidak mencukupi kerana pengunjung biasanya tidak berada di satu tempat.
“Apabila penduduk setempat atau pekerja pusat rekreasi itu sendiri menjadi anggota pasukan komuniti, mereka boleh bertindak sebagai ‘first responder’ dalam sebarang situasi kecemasan.
“Namun setakat ini, bilangan pasukan bomba komuniti yang ditubuhkan di kawasan rekreasi di negeri ini tidak sampai angka 10,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aktiviti Kempen Keselamatan di Air dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Kuala Woh di Resort Kuala Woh, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak, Rosmainor Yaakub; Ketua Zon 4 JBPM Perak, Mohd Esmadi Mohd Saufi serta Pengusaha Resort Kuala Woh, Ting Kok Yee.
Sayani berkata, setiap anggota pasukan bomba komuniti akan diberi pendedahan asas mengenai operasi penyelamatan sama ada di air mahupun kebakaran.
Beliau yakin penubuhan pasukan itu di setiap kawasan rekreasi terutama di Perak akan menjadi nilai tambah serta meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap aspek keselamatan.
“Apabila pengusaha mengambil langkah proaktif menubuhkan pasukan bomba komuniti, ia sebenarnya meningkatkan keyakinan masyarakat untuk datang kerana mereka tahu keselamatan diberi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, Sayani turut menegur tanggapan segelintir pengusaha pusat rekreasi yang kurang senang apabila bomba mengeluarkan senarai kawasan ‘hotspot’ kepala air di Perak sebelum ini.
“Kami hanya mahu memberi peringatan kerana setiap kali cuti sekolah atau cuti umum, kes lemas sering meningkat dan ia melibatkan kanak-kanak serta remaja.
“Maka, pengusaha sepatutnya melihat statistik itu sebagai panduan meningkatkan keselamatan di premis mereka, bukan sebaliknya,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: