IPOH – BIM Challenge 2025 menjadi medan cetusan inovasi dalam melahirkan pelajar berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang pendigitalan pembinaan menerusi teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Zamzam Mohd Walid berkata, pertandingan itu antara inisiatif JPPKK dalam membentuk pelajar yang berdaya cipta, kreatif serta kritis, selaras dengan kehendak kemahiran abad ke-21.
Menurutnya, ia turut menjadi medium pengukuhan kemahiran teknikal dalam bidang pemodelan maklumat pembinaan serta mencetuskan idea-idea baharu yang boleh dikembangkan kepada penyelesaian sebenar industri.
“Pada masa sama, ia menggalakkan kolaborasi berimpak tinggi antara institusi pengajian tinggi, pemain industri, dan pihak antarabangsa.
“Malah, penganjuran ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk menonjolkan potensi dan daya saing mereka sama ada di peringkat kebangsaan mahupun global.
“Program yang bermula dengan sesi saringan pada 4 Jun dan pertandingan akhir yang diadakan semalam, kita telah menyaksikan semangat daya saing yang tinggi, ketajaman fikiran dan ketahanan emosi dalam kalangan peserta.
“BIM Challenge 2025 telah menjadi platform untuk mengangkat martabat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutup BIM Challenge 2025 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh; Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Ahmad Arman Nor Anuar dan Pengurus Besar Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Mohamad Fikri Mohd Junit.
Dalam pada itu, Zamzam menjelaskan pertandingan tersebut mencerminkan iltizam JPPKK dalam memperkukuh sistem pendidikan TVET negara dengan menjana graduan yang kompeten dari segi teknikal serta bersedia menghadapi cabaran era pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0.
“Institusi-institusi TVET seperti Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) memainkan peranan strategik dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk menguasai kecekapan BIM yang kini wajib bagi projek-projek pembinaan utama negara.
“Selaras dengan tuntutan tersebut, POLYCC giat menyepadukan kurikulum BIM yang berteraskan keperluan industri, memperkasakan tenaga pengajar melalui latihan dan pemantapan ilmu terkini, serta memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan pihak industri.
“Pendekatan holistik ini bukan sahaja memastikan kebolehpasaran graduan sentiasa terpelihara, malah membolehkan mereka menjadi ejen perubahan yang memacu transformasi digital sektor pembinaan negara.
“Usaha ini juga menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti, kecekapan pelaksanaan projek dan daya saing ekonomi Malaysia secara menyeluruh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Koridor TVET Negara bantu anak Perak peroleh pekerjaan, gaji lebih baik