IPOH – Kerajaan negeri telah menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM20,000 kepada 59 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Rabu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran bersamaan dua bulan elaun itu turut melibatkan Pusat Khidmat DUN pembangkang seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Perak 2026, November lalu.
“Saya maklumkan perkara ini supaya rakyat tahu semua wakil rakyat sudah menerima peruntukan RM20,000 tersebut. Sebab ada beberapa peristiwa mengatakan kerajaan tidak memberi duit dan meminta rakyat pergi ke pusat khidmat pihak lain.
“Ini salah dan tidak wajar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut Saarani berkata, peruntukan itu bagi memastikan pusat khidmat DUN mempunyai dana mencukupi untuk membantu rakyat, sekali gus menepis dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak adil atau menyekat peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Tambah Saarani, setiap pusat khidmat di Perak menerima elauan RM10,000 sebulan, berbanding RM5,000 sebelum ini namun dinaikkan kepada RM7,000 ketika awal pentadbirannya sebagai Menteri Besar.
“Jadi RM7,000 daripada RM10,000 yang disalurkan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran pusat khidmat, manakala baki RM3,000 boleh digunakan untuk membantu keperluan rakyat.
“Dengan peruntukan bulanan RM3,000 itu, setahun jumlahnya RM36,000. Ditambah dengan BKK RM20,000, pusat khidmat mempunyai sehingga RM56,000 setahun untuk digunakan membantu rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Ditanya mengenai permintaan agar diberi peruntukkan kepada pembangkang di Perak seperti yang dilakukan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu Saarani berkata, pemberian elaun RM10,000 secara sama rata kepada pusat khidmat wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.
“Di Perlis, pusat khidmat menerima RM5,000 sebulan, di Kedah hanya RM2,000. Perak beri RM10,000 sebulan dan turut beri BKK. Jadi isu kononnya kerajaan negeri tidak adil ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memastikan peruntukan sampai kepada rakyat di semua kawasan, sama ada melalui wakil rakyat kerajaan atau pembangkang dengan perbezaan hanya dari segi kaedah pelaksanaan. -MG Perak


