BN akan santuni pengundi Ayer Kuning seramai mungkin

TAPAH – Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jentera dengan bertemu dan menyantuni seramai mungkin pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlangsung bermula 12 April ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu adalah salah satu cara untuk mendekati dan mengetahui kemahuan pengundi di DUN tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan jentera BN agar bersiap sedia menghadapi pelbagai isu yang akan dibawa pembangkang sepanjang kempen berlangsung.

BN santuni pengundi Ayer Kuning seramai mungkin
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 APRIL 2025.

“Walaupun jumlah pengundi di DUN itu hanya sekitar 31,000 orang, BN menjangkakan sekitar 75 peratus akan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.

“Tugasan-tugasan tersebut telah pun disusun begitu baik oleh pengurusan BN Perak. Selepas ini, tugasan kita adalah untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan menerangkan isu-isu semasa.

“Kita tidak bercadang untuk mengadakan ceramah besar-besaran (tetapi) kita cuma akan mengadakan kumpulan-kumpulan kecil lebih efektif, lebih senang untuk kita menyampaikan mesej ataupun hasrat kita kepada pengundi-pengundi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN N.48 Ayer Kuning, di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini, pada Isnin.

Mohamad Hasan juga tidak menolak kemungkinan jentera BN akan menggunakan sedikit sebanyak formula gerak kerja pada DUN Nenggiri (Kelantan) dan DUN Mahkota (Johor) pada PRK tersebut.

BN santuni pengundi Ayer Kuning seramai mungkin
Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noraini Ahmad. Foto SYAKIR YUSOF, 07 APRIL 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, jentera wanita telah menggerakkan jentera bagi memastikan calon yang bertanding boleh menang pada PRK itu.

“Jentera wanita terdiri daripada jentera tempatan, jentera Parlimen, negeri-negeri akan berkumpul dan akan membuat koordinasi untuk membantu calon BN yang bertanding di sini.

“Di samping itu kami ingin mengucapkan terima kasih juga kepada semua komponen BN dan Friends of BN juga serta mengucapkan terima kasih juga kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH),” ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO.

BN santuni pengundi Ayer Kuning seramai mungkin
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto SYAKIR YUSOF, 07 APRIL 2025.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan calon yang ditampilkan BN adalah pilihan yang terbaik dan tepat.

“Beliau (Dr Mohamad Yusri Bakir) seorang yang berpendidikan tinggi, berlatarbelakangkan agama, yang dekat dengan masyarakat dan rakyat serta merupakan anak tempatan.

“Saya kira beliau boleh kita tampilkan, kemukakan kepada rakyat di Ayer Kuning ini bagi meneruskan kerja baik dan segala usaha yang telah dilakukan dan dengan cemerlang oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini,” katanya.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon BN bagi Pilihan PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dr Mohamad Yusri Calon BN PRK Ayer Kuning

PRK Ayer Kuning: Dr Mohamad Yusri tidak sangka dipilih calon BN

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI