IPOH – Barisan Nasional (BN) akan memberi keutamaan dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam parti itu bagi mengadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan itu bersandarkan kepada hipotesis kejayaan parti itu melalui calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota sebelum ini.
“Saya merasakan bahawa kita tidak ada pilihan (melainkan) untuk mengenengahkan calon-calon muka baharu terutama dalam kalangan anak muda.
“(Tetapi) seseorang calon bukan hanya umurnya muda, tetapi (calon itu juga harus) mempunyai pendedahan baik di peringkat akar umbi (yang akhirnya) akan memberikan kemenangan yang cukup bergaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Juga hari, Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon serta Tan Sri M Ramasamy.
Ia turut dihadiri wakil-wakil daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi, Pengerusi PKR Negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri serta Ahli Jawatankuasa DAP Nasional, Howard Lee Chuan How.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi selepas mendapat 27,995 undi pada September lalu.
Pada Ogos lalu, calon muda BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 3,352 undi selepas memperolehi 9,091 undi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan mengetengahkan calon muda bukan sebagai meminggirkan calon-calon muka lama.
Jelas beliau, ia sebaliknya langkah parti dalam memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada muka baharu untuk mewakili parti pada pilihan raya akan datang.
“Kita mesti ada kombinasi antara calon lama dan baru. Kita pernah muda dahulu, dan ketika itu kita diberikan peluang oleh pemimpin terdahulu.
“Dan kini apabila kita mengambil alih kepimpinan, kita mesti memberi banyak peluang banyak kepada calon-calon muda untuk menjadi calon pada masa (pilihan raya) akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Ahmad Zahid menyarankan agar BN dapat menggilap lebih ramai potensi calon muda untuk berhadapan PRU16 nanti.
“Kita mahu Puteri diberikan keutamaan, kita mahu Pemuda diberikan keutamaan, kita mahu Wanita diberi keutamaan. Maka tinggalkan 10 peratus untuk ketua-ketua bahagian, termasuk saya,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyarankan agar BN turut dapat memperkuatkan jentera masing-masing bersama kerjasama dengan PH, di samping menguasai era digital. – MG Perak
Artikel Berkaitan: