TAPAH – Jentera Barisan Nasional (BN) mematuhi sepenuhnya arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarang menggunakan jentera kerajaan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, pasukannya menyokong penuh ketetapan kerajaan itu dan menumpukan kepada kekuatan akar umbi serta pendekatan bersemuka dalam usaha meraih sokongan pengundi.
“Kita sokong apa yang disebut Perdana Menteri agar tidak akan menggunakan jentera kerajaan bagi kempen PRK Ayer Kuning.
“Sudah semestinya kita akan mematuhi apa yang digariskan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyantuni orang ramai ketika mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Kuning, di sini, pada Rabu.
Mengulas lajut, Mohamad Yusri atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, pihaknya yakin usaha yang dilakukan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) membantu dia diterima masyarakat Ayer Kuning.
“Saya yakin atas usaha bersungguh-sungguh yang kita lakukan dan penerimaan masyarakat yang baik, InsyaAllah kita boleh capai apa yang kita hajat, dengan itu saya yakinlah,” katanya.
Ditanya mengenai pertembungan dengan calon lawan semasa berkempen Ustaz Yusri menyifatkan menyifatkan persaingan berlangsung dalam suasana politik yang matang.
“Biasalah kebetulan tiga kali (bertembung). Pagi tadi saya sempat ziarah orang meninggal dunia dan kami amalkan politik matang duduk bersama, tiada masalah, tiada isu.
“Kedua-dua penyokong juga tiada masalah dan saya ingat lima hari berkempen tiada sebarang isu bila bertembung,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Ustaz Yusri mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).