IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak tidak akan memandang mudah saingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun di atas kertas parti itu dilihat mampu mempertahankan kerusi berkenaan, namun gerak kerja jentera parti perlu digerakkan dalam mendekati pengundi daripada pelbagai golongan.
“Kita tidak boleh memandang mudah (dalam PRK yang dijangka akan diadakan nanti) kerana pengundi berubah-ubah atau dinamik.
“Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan BN mempunyai pengundi tegar masing-masing (di DUN Ayer Kuning), tetapi kita tak tahu bagaimana situasi dalam pengundi muda.
“Oleh itu, perlu untuk kita terus mendekati pengundi khususnya pengundi-pengundi baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Pertama 2025 di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Isnin.
Pagi tadi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak memaklumkan memberi laluan kepada BN untuk meletakkan calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Ayer Kuning yang dijangka akan diadakan nanti.
Pengerusi AMAMAH Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan itu sebagai sokongan tidak berbelah bahagi serta isyarat kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara.
Mengulas lanjut Saarani memberitahu, kesediaan AMANAH Perak yang memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi berkenaan sebagai suatu persefahaman yang terjalin dengan PH sejak 2023.
Kata beliau, sebagaimana amalan dalam gabungan itu, parti penyandang sama yang mewakili kerusi sebelum ini akan bertanding dalam mana-mana PRK.
Saarani berkata, ia sama seperti yang berlaku di siri-siri PRK sebelum ini seperti di kerusi DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK Parlimen Parlimen Pulai di Johor serta DUN Pelangai di Pahang.
Dalam perkembangan sama, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, BN Negeri telah menghantar surat pemakluman kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada Isnin.
Kata beliau, ia sebagai memberi laluan kepada Mohammad Zahir untuk menghantar notis berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan penyandang, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada Sabtu.
Untuk rekod, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.
Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari AMANAH yang mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: AMANAH Perak beri laluan, sedia bantu BN