GOPENG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan keyakinan membantu kemenangan lima calon gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, jentera BN negeri telah diamanahkan menjaga lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana tiga kerusi dalam Parlimen Tawau dan dua kerusi Parlimen Kalabakan.
“Jadi kita akan turun pada 21 hingga 24 (Oktober) dan kemudian turun lagi.
“Bergantung kepada bila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umum pada 16 Oktober ini bila penamaan calon, undi awal dan hari mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SINC) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Tambah Saarani, BN Perak akan melihat keperluan di lima DUN berkenaan semasa PRN bagi membantu calon yang dipilih kelak.
“Meskipun kita tidak sama dengan orang tempatan tapi kita boleh tolong untuk membantu.
“Ini kerana orang tempatan yang akan lebih mengenali hati budi pengundi-pengundi di kawasan dia,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. -MG Perak