BN sedang teliti calon sesuai isi kekosongan Kinabatangan, Lamag

LUMUT – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag di Sabah, susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan awal sudah pun diadakan antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN Sabah bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

“Pada dasarnya, Pengerusi BN telah mengadakan perbincangan dengan BN Sabah untuk membuat persiapan awal.

“Ketika ini, proses mengenal pasti calon sedang dilaksanakan, dan seperti yang disebutkan oleh beliau (Ahmad Zahid) perkara ini akan dikendalikan di peringkat bahagian Kinabatangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa Ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor dekat sini pada Khamis.

Zambry berkata, buat masa ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu, Datuk Jafry Ariffin bertindak sebagai pemangku Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan.

“BN Sabah ini mempunyai autonominya. Jadi, setelah mereka mengadakan perbincangan itu, mereka akan memaklumkan kepada Pengerusi BN cadangan nama yang sesuai (untuk dijadikan calon),” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Ahmad Zahid akan membuat pengumuman rasmi berhubung calon BN yang akan diketengahkan untuk kedua-dua kerusi tersebut.

Kekosongan dua kerusi itu berlaku selepas Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sabah pada 1.46 pagi, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag untuk penggal kedua.

Pada PRN Sabah ke-17, 29 November lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan telah menyandang kerusi tersebut selama enam penggal sejak 1999.

Selasa lalu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Disember ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB Perak zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Bung Moktar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI