KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad hairan dengan pendirian Barisan Nasional (BN) yang masih teragak-agak untuk meneruskan kelangsungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sedangkan, menurut beliau, kerjasama itu yang diasaskan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-15 berjalan dengan sangat baik, penuh tolak-ansur dan keikhlasan.
Malah, katanya, tiada unsur-unsur buli atau khianat sepanjang kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, yang mana situasi mungkin berbeza sekiranya PH bekerjasama dengan Pas atau Perikatan Nasional (PN).
“Amanah mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan terletak di tangan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana rundingan kerusi antara PH dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan berlaku memandangkan BN masih belum membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama.
Sambil menghargai pendirian Mohamad itu, Khalid turut menyifatkan kenyataan tersebut jauh lebih matang berbanding kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dinilai lebih cenderung kepada kerjasama dengan Pas dan PN.
Tambah Khalid, susulan pendirian Mohamad itu juga, Amanah kini bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan pada PRN Melaka dan Johor kelak.
Ujarnya, meskipun BN dilayan dengan baik sepanjang kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia tetap terpulang kepada kepimpinan BN sama ada mahu meneruskan kerjasama tersebut atau sebaliknya.
Bagi Amanah juga, jelas beliau, pihaknya terus mengharap keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.
“Tapi pada masa sama, Amanah akan menggerakkan jentera mulai sekarang untuk menghadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti `kegilaan’ Akmal.
“Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar “statement of fact” atau menyatakan hakikat,” katanya. – MalaysiaGazette


