Boikot berasaskan emosi beri kesan buruk pada ekonomi negara – Khutbah Jumaat Perak

IPOH – Langkah memboikot berasaskan kepada emosi terhadap premis jualan dan jenama tertentu boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui teks khutbah Jumaat berkata, ini kerana syarikat-syarikat yang terlibat merupakan antara pembayar zakat dan cukai di Malaysia.

“Dikhuatiri, boikot yang berasaskan emosi, tanpa perancangan rapi, berkemungkinan turut meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri yang terlibat dalam rangkaian pembekalan, pengedaran, pemasaran, pengurusan, urus niaga dan pekerjaan.

“Malah, usaha negara untuk menarik pelabur, dan kedudukan negara sebagai negara perdagangan serta destinasi pelaburan turut terjejas.

“Berkurangnya pelaburan, bermakna berkurang juga urus niaga, dan berkurang juga peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghayati keadilan sejagat dalam kehidupan bernegara’ itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di seluruh Perak.

Menurut teks berkenaan, pendekatan memboikot yang bersifat reaktif dan beremosi tidak menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya ia membawa kepada penurunan jualan dan keuntungan perniagaan yang terkesan.

Tambahnya, ia kemudian mengakibatkan kepada kesan pengurangan gaji dan kehilangan pekerjaan yang majoritinya dilaporkan terjadi pekerja Islam yang terjejas dengan tindakan boikot itu.

Pada masa sama, teks khutbah Jumaat itu turut menekankan bahawa perbuatan memboikot terhadap sesuatu kaum adalah tidak selari dengan sunah Rasulullah SAW.

Katanya lagi, suasana tenang dan hubungan harmoni antara kaum diperlukan bagi membolehkan dakwah Islam berkembang pesat.

Malah tambah teks itu, hakikat yang wajib difahami semua pihak adalah umat Islam dan bukan Islam di negara ini saling memerlukan.

“Sebarang ketidakadilan dan keburukan yang menimpa satu pihak, akan memberi kesan kepada pihak yang satu lagi.

“Justeru, penting disemaikan semangat saling hormat menghormati dan amalan saling bantu membantu sesama kita, kerana dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang,” ujarnya.

Oleh itu, JAIPk menerusi teks khutbah itu meminta, agar semua pihak untuk bertindak secara rasional dalam menyatakan rasa prihatin ke atas apa juga isu berkaitan Islam dan syiarnya.

Di samping itu ujarnya, semua pihak juga diminta untuk menghindarkan diri daripada dipengaruhi emosi untuk bertindak secara bersendirian yang bercanggah dengan undang-undang.

“Pihak penguat kuasa wajib bersikap tegas dan pantas mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap perkara-perkara menyentuh sensitiviti agama.

“Dibimbangkan kelewatan atau kelemahan tindakan bakal mengundang keresahan orang ramai yang boleh menyebabkan tercetus perbuatan yang menjejas ketenteraman awam.

“Selain itu, umat Islam wajib terus berdakwah dan menampilkan wajah Islam yang indah lagi menarik ketika menjalankan kerja-kerja dakwah,” kata teks itu lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Umat Islam perlu berhenti boikot KK Mart – Mufti Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI