BATU GAJAH – UMNO Perak terbuka menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin atau ahli yang pernah disingkirkan untuk kembali menyertai parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun mereka yang ingin berbuat demikian harus benar-benar menginsafi kesalahan lampau.
Katanya, selain itu mereka juga perlu bersedia untuk mematuhi perlembagaan UMNO kerana dalam sesebuah organisasi parti politik, semua pihak termasuk presiden perlu akur dengan perkara yang termaktub dalam perlembagaan parti.
“Tidak kira bekas ahli baru atau lama, kita terbuka sekiranya mereka ingin kembali kepada UMNO, tetapi kena bersedia untuk mematuhi perlembagaan serta disiplin parti.
“Jika tidak mahu (mematuhi perlembagaan parti), jangan kembali dan menyebabkan parti bergolak. Tolong jangan ganggu parti, kerana UMNO kini berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Program Memancing Perak Sejahtera 2030 Bersama Menteri Besar Perak di The Treasure @ Taman Herba Gopeng, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Juga menyertai program anjuran kerajaan negeri adalah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak sebelum itu ditanya pemberita berkenaan perkembangan terkini UMNO susulan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik balik 25 November lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini UMNO Perak belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bekas ahli yang mahu kembali kepada pangkuan parti itu.
“Yang lain belum dengar khabar, dan tak dengar cerita, melainkan Datuk Seri Tajuddin sahaja,” jawabnya ringkas.
Media melaporkan, Tajudin yang juga bekas Ketua UMNO Pasir Salak, digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober 2022 kerana kesalahan mengkritik parti itu menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah pada mesyuarat tertutup yang dihadirinya.
Dalam perkembangan berasingan, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.
Kata beliau, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 BN Nasional, gabungan itu juga tekad bergerak bersama antara UMNO, MCA dan MIC dalam usaha menambah lebih banyak kerusi baik di peringkat negeri mahupun Parlimen.
“Selepas mengambil formula kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota, kita yakin BN akan memperoleh lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya lalu,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
4 kali surat rayuan bukti kesungguhan Tajuddin kembali ke UMNO – Zahid