IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 22 titik panas (hot spot) susulan fenomena El Nino yang dijangka akan berlaku bermula April ini.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, lokasi titik panas itu melibatkan empat zon di sekitar negeri ini iaitu Ipoh (dua), Taiping (14), Manjung (lima) dan Tapah (satu).
Menurut beliau, lokasi yang berpontensi berlaku kebakaran sepanjang musim panas dan kering itu termasuklah kawasan hutan serta belukar.
“Kebakaran ini bukan sahaja boleh berlaku kepada bangunan atau kenderaan tetapi ia boleh mengancam persekitaran alam semulajadi.
“Kita akan menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku sepertimana kebakaran hutan yang terjadi pada 2014 dan berdasarkan pengalaman yang kita hadapi dalam kebakaran ini, hutan simpan kita pun akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan perutusan amanat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad di Ibu Pejabat JBPM Perak, pada Rabu.
Dalam pada itu, Sayani berkata, pihaknya akan lebih bersedia untuk menghadapi fenomena tersebut dengan memastikan terdapat punca air terbuka di kawasan kebakaran hutan.
“Kita mungkin akan berurusan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan untuk mendapatkan bantuan bagi pemadaman proses tersebut.
“Selain persediaan anggota, kita turut bersiap siaga dengan peralatan sedia serta mengadakan kolaborasi dengan agensi berkaitan, maksudnya kerja pemadaman bukan sahaja terletak pada bomba,” jelasnya.
Pada Februari 2014, kebakaran hutan jenis kebun pokok getah berlaku di Gunung Raba, Bersia Gerik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Bomba Perak kenal pasti 22 lokasi ‘hot spot’ kebakaran hutan […]