Bomba Perak selamatkan harta benda bernilai hampir RM352 juta

IPOH — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM351.97 juta yang terlibat dalam kebakaran sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding RM274.5 juta pada 2024.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, peningkatan nilai harta yang diselamatkan itu antara lain hasil peranan besar dimainkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS), khususnya dari segi masa tindak balas awal.

“Saya tidak nafikan dalam kebanyakan kes PBS banyak membantu JBPM dari segi ‘response time’. Ini kerana PBS membantu pemadaman kebakaran di peringkat awal terutamanya di kawasan yang agak jauh dari balai bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini pada Jumaat.

Sayani berkata, sehingga kini Perak mempunyai sebanyak 40 PBS yang aktif dan JBPM sentiasa membantu dari segi latihan serta pemberian aset operasi dari semasa ke semasa.

Tambahnya, Perak juga mempunyai satu PBS yang dianggotai Orang Asli iaitu PBS Ulu Geruntum di Gopeng.

“Jadi keseluruhannya operasi bomba dibantu oleh PBS dan juga pegawai-pegawai bomba bantuan,” ujarnya.

Bomba Perak selamatkan harta benda bernilai hampir RM352 juta
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon menyampaikan sijil penghargaan Ops Selamat Mangsa Cubaan Bunuh Diri kepada PB Mohamad Norakmal Rosli pada Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Dewan Premier Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 06 FEBRUARI 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata, statistik menunjukkan penurunan kerugian harta akibat kebakaran, namun peningkatan dari segi harta dan nyawa yang berjaya diselamatkan.

“Saya tak nafikan yang bahawa statistik kita ada berlakunya pengurangan dari segi harta yang kerugian tapi ada peningkatan daripada segi harta dan juga nyawa diselamatkan,” katanya.

Katanya, PBS juga memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan dan penjagaan pili bomba di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Sayani menyempurnakan upacara pemakaian tanda pangkat kepada 23 anggota dan pegawai yang berkhidmat dalam JBPM.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai bomba dan orang awam yang telah membantu dalam operasi kecemasan sebelum kehadiran pasukan bomba ke lokasi kejadian.

Di samping itu, sebuah jentera bomba kompak atau CFRT kepada Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong menggantikan jentera sedia ada. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bomba Perak terima 60 panggilan sehari susulan cuaca panas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI