IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mencatatkan purata 60 panggilan kecemasan sehari membabitkan kes kebakaran susulan cuaca panas dan kering yang berlaku di negeri ini.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 40 peratus panggilan melibatkan kebakaran terbuka terutamanya kebakaran lalang, kebun dan tapak pelupusan sampah.
Menurutnya, kebakaran melibatkan lalang sebelum ini hanya sekitar 0.4 sehingga 0.8 hektar, namun semenjak cuaca panas keluasannya boleh mencecah sehingga 2 hektar dan perkara itu amat membimbangkan sekiranya kebakaran tersebut tidak dapat dikawal.
“Justeru, saya ingin mengingatkan supaya masyarakat bersama-sama mengekang aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka ini.
“Cuaca yang panas ini akan menyebabkan kemerebakan api berlaku dengan cepat. Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa dan masyarakat supaya lebih peka, terutamanya kepada perokok, pastikan pembuangan puntung rokok tidak mencetuskan pembakaran terbuka.

“Ibu bapa juga perlu memantau anak-anak dan mengelakkan mereka daripada bermain dengan punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini pada Jumaat.
Sayani turut meminta semua pihak untuk bekerjasama dalam menangani risiko kebakaran ketika musim panas.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya lebih cakna pada musim ini dan tidak melakukan pembakaran terbuka, namun sekiranya pembakaran terpaksa dilakukan, ia hendaklah dipantau dengan rapi dan tidak ditinggalkan tanpa kawalan.
Tambahnya, kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin diperlukan, termasuk mengenakan denda terhadap pelaku pembakaran terbuka, sebagai langkah untuk mengekang masalah tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


