MANJUNG – Pasukan bomba menyelamatkan 35 mangsa yang terjejas banjir di Kampung Kilang, Pantai Remis, dekat sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ia susulan berlaku kejadian banjir kilat sehingga aras air dianggarkan setinggi 0.3 sehingga 0.5 meter.
Katanya, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 12.15 tengah malam dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.14 pagi.
Ujar Sabarodzi, kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas oleh 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dan BBP Trong.
“Keadaan cuaca hujan di lokasi ketika ini telah berhenti. Kesemua mangsa telah diselamatkan menggunakan bot dan bawa ke PPS untuk penempatan sementara.
“Operasi pemantauan masih diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Operasi yang diketuai Ketua BBP Pantai Remis, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Akmal Hussin tamat pada jam 7.48 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba kenal pasti 4,619 kawasan berisiko tinggi dilanda banjir