IPOH – Sebanyak 25 awak-awak diselamatkan selepas bot yang mereka naiki terbakar kira-kira 3.5 batu nautika dari Pelantar Alep, di perairan Pantai Remis, malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.06 malam dan mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan kebakaran sebuah bot pukat jerut jenis kelas C yang musnah terbakar 80 peratus, kira-kira 3.5 nautika dari pelantar berdekatan.
“Terdapat 25 awak-awak diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berdekatan lokasi kebakaran setelah terjun ke laut dan dibawa ke Pelantar Alep,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan pemilik, bot yang memiliki kapasiti diesel sebanyak 10,000 liter itu sedia untuk dikaramkan dan sedang ditunda ke tengah laut menggunakan bot nelayan yang berada berdekatan lokasi.
“Operasi pemadaman diteruskan atas permintaan pemilik bot kerana memerlukan bangkai bot berkenaan. Ketua operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan bersumberkan air terbuka dan pam angkut sehingga api dipadamkan sepenuhnya,” katanya. -BERNAMA