IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak meneruskan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) melibatkan 465 peniaga di 11 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, BRR adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Payung Rahmah Madani yang bertujuan membantu menangani kos sara hidup rakyat sepanjang bulan Ramadan.
“Menerusi BRR peniaga menyediakan pilihan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang berpatutan.
“Peniaga yang menyediakan Juadah Rahmah dalam program BRR berpeluang untuk mendapatkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.
“Permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kini dilaksanakan secara digital bagi mempercepat proses kelulusan kepada peniaga yang berdaftar dengan KPDN. Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my/ ,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sesi walkabout dan Pelancaran BRR, Program Ihsan Food Bank (i-FB) dan Program Patuh di Bazar Ramadan Taman Cempaka di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamalludin berkata, program i-FB diteruskan pada tahun ini dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak serta membabitkan penyertaan mahasiswa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, tahun lalu program itu dilaksanakan di 15 bazar seluruh Perak dan sebanyak 6,324 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan.
“Sebanyak 6,324 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan dengan anggaran nilai RM80,325 pada tahun lalu.
“Ia memberi manfaat kepada lebih 500 penerima termasuk pelajar serta penghuni rumah kebajikan dan rumah anak yatim,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaksanaan i-FB memberi tumpuan kepada konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Booth Prihatin’ Bazar Ramadan Medan Gopeng bantu golongan memerlukan


