Buang tilam, perabot dalam longkang punca banjir kilat

SUNGAI SIPUT – Sikap individu tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam longkang di parlimen ini tidak akan menyelesaikan masalah banjir kilat meskipun terdapat Kolam Takungan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang hampir siap.

Lebih parah ada dalam kalangan mereka membuang tilam serta perabot ke dalam longkang hingga menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee berkata, sisa pukal yang dibuang itu akan memerangkap lebih banyak sampah lain hingga menyebabkan longkang tersumbat.

Menurut beliau, banjir kilat yang berlaku menjejaskan penduduk di beberapa kawasan perumahan di Taman Lintang Makmur, Taman Tun Sambanthan dan Taman Muhibbah Jaya.

“Masalah banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini sebenarnya beransur baik dengan wujudnya Projek Kolam Takungan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang hampir siap.

“Projek yang telah mencapai kemajuan kira-kira 90 peratus itu membabitkan kerja-kerja mendalamkan sungai, membina kolam takungan dan sistem perparitan di empat sungaiΒ iaitu Sungai Buloh, Sungai Nyamuk, Sungai Bemban dan Sungai Sintang.

“Namun sejak beberapa bulan lalu, banjir kilat berlaku lagi dan apabila diperiksa, didapati bencana itu berpunca daripada sikap manusia membuang sampah ke dalam longkang dan sungai hingga menyebabkan air hujan tersekat lalu melimpah dan mengakibatkan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau rumah pam di Kolam Takungan Taman Lintang Makmur 1, di sini, pada Selasa.

Sze Yee yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, sampah yang dikutip ketika kerja-kerja pembersihan membabitkan sampah domestik dan pukal dianggarkan seberat 1.5 tan.

“Itu kutipan di satu kawasan sahaja, bayangkan di kawasan-kawasan lain. Sikap tidak bertanggungjawab mereka ini menyusahkan orang lain.

“Apa pun, ini berkaitan dengan sikap manusia, jika mereka terus buang sampah terutama sampah pukal ke dalam longkang dan sungai, buatlah apa perubahan atau naik taraf infrastruktur, ia tetap sama,” katanya.

Ujar beliau, sebanyak RM1.65 juta diperuntukkan tahun lalu bagi menyelenggara kolam tadahan di Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur dan sebagainya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI