TELUK INTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas awal pagi Rabu selepas hilang dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit di Jalan Chenderong Balai, Labu Kubong, di sini, petang semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.23 tengah malam.
Menurut beliau, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
“Kita menerima maklumat berhubung seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai hilang di dalam sebuah parit sedalam kira-kira dua meter.
“Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 5 hingga 6 petang dan penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa, namun tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shazlean berkata, ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menjalankan pencarian di kawasan tali air berhampiran.
“Hasil operasi menemukan kanak-kanak lelaki itu di dasar air pada jarak kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.10 pagi ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki hilang ketika menjala ikan ditemui lemas 100 meter dari bot