Budak perempuan dua tahun maut, pengasuh ditahan

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjatuh di lantai rumah pengasuh di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada ayah mangsa sekitar jam 7.20 malam Selasa.

Menurutnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut namun pada jam 11.10 malam keesokan harinya pegawai perubatan pediatrik hospital terbabit memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan pada jam 10.45 pagi tadi (Rabu) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul.

“Setakat ini, pengasuh wanita berusia 30 tahun telah ditahan petang tadi (Rabu) bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih dijalankan dan keterangan percakapan saksi-saksi terlibat akan dirakam,“ katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi,“ tegasnya.

Azizi berkata, sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak maut tertinggal dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI