SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun enam bulan diselamatkan anggota bomba selepas terkunci secara ‘auto-lock‘ di dalam kereta kira-kira 23 minit di hadapan sebuah sekolah di Enggor, di sini, pagi Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shamsul Baharin Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 pagi.
Beliau berkata, susulan itu, sepasukan 10 anggota dari BBP Sungai Siput dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai bomba bagi menyelamatkan mangsa.
“Setibanya di lokasi kita mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam kereta Perodua Axia.
“Anggota mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kanak-kanak terbabit.
“Kita mengambil masa sekitar 10 minit untuk mengeluarkan kanak-kanak itu dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada ibunya dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.59 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu treler maut nahas empat kenderaan