BUDI95: Had subsidi petrol 300 kepada 200 liter mulai April ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan penyelarasan had kelayakan subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini susulan tekanan global akibat konflik Asia Barat.

Beliau bagaimanapun menegaskan harga petrol bersubsidi itu kekal pada RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapati purata penggunaan rakyat sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.

“Langkah ini sementara, bagi memastikan bekalan mencukupi dan diagihkan secara adil ketika ketidaktentuan ekonomi dunia berterusan,” katanya dalam perutusan khas petang ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata, had siling bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.

Beliau turut mengumumkan Sabah dan Sarawak terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga global meningkat namun menegaskan, ketirisan perlu dikawal dengan lebih tegas.

Sehubungan itu, kerajaan akan menghadkan pengisian bahan api mengikut kategori kenderaan, termasuk maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan, 100 liter bagi kenderaan bawah tiga tan dan 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan setiap pembelian.

Anwar berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan yang sebelum ini dikesan mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.

“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan langkah diambil secara teliti dan berhemah, walaupun mengakui ia mungkin menimbulkan rasa tidak selesa kepada sebahagian rakyat.

“Saya tidak mahu rakyat merasa tertekan tetapi langkah ini terpaksa diambil kerana tekanan semasa,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI