GEORGE TOWN – Kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan bagi mengawal penyalahgunaan subsidi petrol RON95 (BUDI95).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, salah satu kawalan adalah menghadkan penggunaan subsidi petrol supaya individu tidak boleh mengisi lebih daripada sekali sehari.
“Perincian lengkap akan diumumkan menjelang 27 hingga 30 September ini bagi memastikan subsidi disalurkan hanya kepada mereka yang benar-benar layak.
“Langkah ini membolehkan kerajaan melakukan pemantauan untuk mengelak berlaku penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga memberi kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan e-hailing dan p-hailing bagi membuat permohonan tambahan kuota BUDI95 berdasarkan keperluan.
Bagaimanapun, jelas beliau, permohonan kuota tambahan itu memerlukan sokongan rasmi daripada syarikat e-hailing masing-masing.
“Mengikut sistem yang ada, kita ada rekod prestasi dan kita tahu berapa kali dalam sehari digunakan.
“Penggunaan setiap bulan kita boleh sahkan dengan syarikat e-hailing dan p-hailing untuk memastikan yang sebenarnya dia betul-betul melakukan kerja itu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memilik lesen memandu layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif budi madani RON95 (BUDI95), namun bagi pemandu e-hailing mereka dikecualikan daripada had berkenaan.
Bagi bukan warganegara, harga RON95 adalah RM2.60 seliter bermula tarikh sama. – MalaysiaGazette