PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah mengintegrasikan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memastikan insiden penyelewengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan MyKad yang dilaporkan hilang tidak berulang terhadap program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati lebih 100 kes dikesan apabila MyKad yang dilaporkan hilang digunakan untuk menuntut SARA berikutan kelemahan penyelarasan data antara kedua-dua sistem tersebut.
“Apabila seseorang melaporkan kehilangan MyKad, JPN akan segera menyahaktifkan kad itu dalam sistem kita. Namun, kerana sistem SARA di bawah MOF tidak diintegrasikan kad berkenaan masih boleh digunakan untuk tuntutan. Itu yang berlaku, walaupun jumlahnya kecil, 100 berbanding 18 juta penerima,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, hari ini.
Beliau diminta mengulas kes yang mendakwa bantuan SARA untuk membeli barang keperluan rumah lesap apabila ia diguna pakai oleh individu tidak dikenali.
Tambah Saifuddin Nasution, perkara itu membuka ruang kepada penyalahgunaan apabila MyKad yang hilang digunakan bagi tujuan tuntutan haram, sekali gus menjejaskan integriti sistem bantuan kerajaan.
“Kita sudah kesan lokasinya dan semua langkah pembetulan telah dibuat. Sekarang, setiap kali MyKad dinyahaktifkan oleh JPN, ia akan serta-merta disekat daripada digunakan dalam sistem SARA MoF juga sudah ada akses kepada maklumat itu,” jelasnya.
Beliau berkata, langkah tersebut tidak boleh dibuat secara sembarangan kerana melibatkan data peribadi rakyat yang sangat sensitif, namun penambahbaikan segera dilaksanakan selepas kelemahan dikesan.
“Kali ini kita belajar daripada apa yang berlaku. Soalnya bukan kecil atau besar, soalnya ada berlaku. Oleh itu kita ambil tindakan supaya ia tidak berulang,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95.
Bagaimanapun, Anwar berkata, bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Menurut beliau, kerajaan memutuskan semua warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi RON95. – MalaysiaGazette