Bukan sahaja pasang SLD, jalan raya teruk, lampu tak cukup juga perlu diberi perhatian – MCA

KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengarahkan semua kenderaan komersial wajib memasang Speed Limitation Device (SLD) atau peranti had kelajuan merupakan satu inisiatif tepat memandangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, langkah tersebut harus dilengkapi dengan perhatian terhadap aspek lain yang turut mempengaruhi keselamatan jalan raya seperti keadaan jalan raya, infrastruktur serta pengurusan pemandu, kata Naib Ketua Pemuda MCA, Lee Yee Yuan.

“Keadaan jalan raya yang teruk, lampu jalan raya yang tidak mencukupi, serta keletihan pemandu kenderaan berat adalah antara faktor yang perlu diberi perhatian.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mewajibkan penggunaan pemandu tambahan serta menetapkan had waktu kerja yang lebih ketat untuk pemandu kenderaan berat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Loke dipetik berkata, kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem berkenaan tidak akan dibenarkan berada di jalan raya,

Tegasnya, pelaksanaan sistem SLD amat penting dalam usaha mengawal kelajuan kenderaan berat serta mengurangkan risiko kemalangan maut, khususnya melibatkan bas dan lori.

Malah menurutnya, negara seperti Singapura dan beberapa negara di Eropah telah lama mewajibkan penggunaan peranti tersebut.

Menerusi kenyataan sama Yee Yuan turut mengingatkan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, telah menggariskan langkah menyeluruh 3E iaitu Penguatkuasaan, Kejuruteraan, Pendidikan semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada Mac 2022.

Katanya, Ka Siong menekankan pengurangan kemalangan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengawalan had kelajuan, tetapi perlu melibatkan aspek penguatkuasaan dan pendidikan pemandu yang lebih berkesan.

Seiring dengan itu, Lee Yee Yuan turut menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan sekatan jalan berkala di kawasan tumpuan kemalangan, meningkatkan kekerapan rondaan dan penyamaran pihak berkuasa serta mengenakan hukuman berat kepada mereka yang melanggar peraturan keselamatan jalan raya.

“Pihak operator pengangkutan juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kemalangan, bukan hanya pemandu.

“Ini bertujuan untuk memastikan pihak pengangkutan bertanggungjawab terhadap keselamatan kenderaan mereka, mengelakkan sikap sambil lewa dan fokus yang hanya berpaksikan keuntungan semata-mata,” tambahnya.

Yee Yuan turut menyeru kerajaan agar meningkatkan usaha mencapai sasaran pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan perlu memastikan jalan raya di negara ini selamat untuk semua pengguna,” kataya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI