Buku masih relevan dalam era digital – Saarani

IPOH – Walaupun dunia pada masa kini semakin dilingkungi oleh teknologi digital, namun buku tetap memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk peradaban dan pemikiran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, melalui pembacaan, masyarakat dapat belajar memahami dunia luar, membentuk cara berfikir, dan memperoleh keyakinan untuk terus maju dalam hidup.

“Buku itu sendiri akan menjadikan kita merasa lebih dekat walaupun dikatakan kita boleh sahaja menekan ‘search’ perpustakaan digital tetapi pada pendapat saya buku masih diperlukan untuk menjadikan pecipta ilmu ini berasa dekat dan rapat dengan punca ilmu itu.

“Dalam hal ini, saya melihat penganjuran pesta dan bazar buku sebagai pemangkin penting kepada pembudayaan ilmu, kejayaannya diukur bukan semata-mata dari segi jumlah pengunjung atau nilai jualan, tetapi dari impak terhadap pembudayaan ilmu dan keterlibatan masyarakat.

“Lihat sahaja contoh bagaimana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berjaya mempertemukan jutaan pembaca dengan pelbagai genre buku.

“Bazar Buku Perak juga membawa semangat yang sama, menawarkan bahan bacaan yang pelbagai, termasuk karya tempatan, akademik dan digital.

“Diskaun istimewa serta pelbagai insentif turut membantu melonjakkan pemilikan bahan bacaan di rumah dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bazar Buku Perak 2025 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di AEON BiG Falim, di sini pada Khamis.

Buku masih relevan dalam era digital – Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Bazar Buku Perak 2025 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di AEON BiG Falim, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JULAI 2025

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Rafidah Abdul Aziz.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, menerusi bazar itu, pengunjung dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti sesi bersama penulis, bedah buku, forum, bual bicara dan bengkel penulisan menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan dan bersifat interaktif.

“Ia secara tidak langsung dapat menyuburkan pemikiran kritis, menggalakkan ekspresi dan menyemai minat sejak kecil.

“Bazar buku ini juga membina komuniti pembaca yang saling menyokong dan memperkayakan antara satu sama lain.

“Pertemuan antara penulis, pembaca, penerbit dan penggiat industri mencetus pertukaran ilmu dan idea baharu yang bermanfaat kepada seluruh ekosistem buku dan pembacaan,” ujarnya.

Katanya, tema pada tahun ini iaitu, ‘Perak Membaca, Rakyat Sejahtera’ sangat tepat pada waktunya serta sejajar dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan Flagship Perak Sejahtera 2030, khususnya menerusi agenda Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“Dalam konteks ini, kita mahu memastikan bahawa budaya membaca menjadi sebahagian daripada strategi membina daya saing rakyat, terutama anak muda.

“Ini kerana anak-anak yang luas pembacaannya, bukan sahaja memiliki pengetahuan, tetapi juga kemahiran berfikir dan menyesuaikan diri dalam dunia yang sentiasa berubah,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perpustakaan Digital Perak dijangka siap menjelang Disember

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI