IPOH – Buku nukilan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertajuk ‘The Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration’ bukan sekadar catatan sejarah dan cabaran, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, buku berkenaan merupakan panduan berharga tentang bagaimana kita boleh memanfaatkan peluang globalisasi untuk mengangkat martabat negeri dan rakyat Perak ke tahap yang lebih gemilang.
Saarani berkata, usaha penjanaan semula (regenerating) yang ditekankan Sultan Nazrin memerlukan pendekatan baharu dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi dan kekuatan negeri Perak.
Jelas beliau ia dilakukan dengan menitik beratkan kerjasama dan kebersamaan supaya dapat mengoptimumkan sumber negeri yang kian terhad.
“Dalam hubungan ini, bagi memastikan Perak menjadi ‘trailblazer’ iaitu peneraju ekonomi masa depan, mengikut acuan dan keperluan negeri, kaedah dan model terbaik terus diteroka.
“Ia bertujuan menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang akan mewujudkan jaringan dan ekosistem ekonomi yang berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Perak Economic Outlook 2025 bertemakan ‘Pengukuhan Ikatan Bersama Rakan Industri’ di Pusat Konvensyen Casuarina di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Penasihat Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri an Sri Mohd Annuar Zaini.
Saarani berkata, strategi yang dibina melalui kaedah dan model ini akan menarik pelaburan yang seterusnya membuka peluang kolaborasi antara syarikat besar, pelabur asing, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perak.
“Pemerkasaan PKS adalah penting kerana PKS di negeri Perak memiliki potensi besar untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri
“Langkah-langkah ini penting untuk kita memastikan kelangsungan momentum pacuan ekonomi negeri selepas pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi termasuk lima projek pemacu perubahan ekonomi Perak yang sedang giat kita jayakan,” katanya.
Katanya lima projek berkenaan adalah, Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Ipoh, Taman Industri Halal Perak (HIP) di Lekir dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP).
Tambah beliau, bagi menjamin pacuan ekonomi yang berkelanjutan, Perak mesti tampil dengan keberanian dan keyakinan untuk bersaing di pentas global.
“Ini kerana dalam era globalisasi yang berubah dengan begitu pantas, kita mesti tangkas meneroka peluang baharu, memecah sempadan tradisi, dan mencipta keunggulan tersendiri untuk kekal berdaya saing,” katanya.
Buku Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, ‘Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration’ dilancarkan pada Julai lalu mengandungi beberapa cadangan mengenai langkah yang boleh dilakukan Perak untuk terus merangsang ekonomi dan meningkatkan kebajikan penduduk di negeri itu.
Menerusi buku berkulit keras setebal 566 muka surat itu, Sultan Nazrin mengemukakan cadangan berkenaan, susulan analisis mendalam baginda selama dua abad mengenai perubahan impak globalisasi baik positif mahupun negatif terhadap Perak serta bandar dan komunitinya.
Sementara itu, kira-kira 700 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, termasuk pegawai daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Orang Besar Jajahan (OBJ), wakil-wakil pemain industri, badan pemikir, pakar bidang dan ahli-ahli academia menyertai Perak Economic Outlook 2025. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin lancar buku Kesan Globalisasi Terhadap Pembangunan Perak Dalam Dua Abad
[…] Buku nukilan Sultan Perak panduan angkat Perak lebih gemilang – Saarani […]