TANJUNG MALIM – Buku Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu terbitan Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Khas ASEAN International Book Award (AIBA) bagi Kategori Buku Sastera Terbaik.
Anugerah berprestij itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri tokoh akademik, penulis, rakan strategik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar, menyifatkan kejayaan yang diraih oleh penulis buku tersebut sebagai pemangkin kepada warga akademia untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Dengan kejayaan buku ini, saya yakin ia akan memberi inspirasi kepada akademia lain untuk menghasilkan karya bermutu yang bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM) UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan keupayaan penerbitan universiti dalam mengangkat karya ilmiah sastera dan pemikiran Melayu ke peringkat global.
Menurutnya, pencapaian itu secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi pengajian tinggi yang semakin mendapat perhatian di persada antarabangsa.
“Pengiktirafan terhadap buku tersebut menunjukkan bahawa penerbitan ilmiah berteraskan sastera dan pemikiran Melayu masih relevan, kritikal dan berdaya saing dalam membentuk wacana intelektual negara.
“Kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara penulis, editor serta pasukan penerbitan PKM dalam memastikan kualiti kandungan, penyuntingan, pembacaan pruf dan persembahan buku memenuhi piawaian akademik semasa.
“Selain itu, pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan peranan Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang komited dalam memperkasa penerbitan ilmu, khususnya dalam bidang sastera, budaya dan pemikiran Melayu,”ujarnya.
Sementara itu, penulis buku berkenaan, Profesor Dr Azhar Wahid berkata, kejayaan itu adalah penghargaan terhadap usaha memperkukuh pemikiran Melayu melalui analisis sastera yang kritis dan berteraskan tradisi ilmu tempatan.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan sebuah buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha mengangkat sastera Melayu sebagai medan wacana pemikiran yang berakar pada budaya sendiri dan mampu berdialog dengan dunia,” katanya.
Ketua Editor PKM, Azlan Mohd Dahari pula berkata, beliau bertanggungjawab menyelia aspek editorial dan memastikan kualiti penerbitan buku setebal 120 halaman yang diterbitkan pada tahun 2025 itu selaras dengan standard penerbitan ilmiah universiti. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI, Tsinghua University jalin kerjasama bangunkan projek AI pendidikan


