Bunuh pelajar: Mahkamah tetapkan 5 Sept dengar permohonan jaminan

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis menetapkan 5 September depan sebagai tarikh baharu pendengaran permohonan jaminan terhadap seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima pada Disember tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan bagi pengurusan kes Mohd Nazri Abdul Razak, 45, di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan telah mengemukakan penghujahan bertulis masing-masing pada Rabu sebagaimana yang diarahkan mahkamah sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu, pihak pendakwaan memerlukan tempoh masa untuk meneliti hujahan daripada pihak pembelaan.

Justeru pihaknya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi pendengaran permohonan itu.

Hakim Bhupindar Singh kemudiannya membenarkan pihak pendakwaan untuk membalas hujah yang difailkan serta memberi tempoh dua minggu untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balasan masing-masing.

Selain Afzainizam, pendakwaan diketuai diwakili, Nasrul Hadi Abdul Ghani, dan Low Qin Hui, sementara tertuduh diwakili Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong serta M Kuhen.

Turut hadir peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tertuduh yang ketika itu berpangkat Deputi Superintendan (DSP) didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pegawai polis didakwa bunuh pelajar: 1 Ogos tarikh permohonan jamin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI