IPOH – Seorang buruh warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari kerangka besi setinggi lapan meter di kawasan tapak pembinaan dekat Taman Meru Raya, Bandar Meru Raya di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lelaki warga Bangladesh berusia 43 tahun itu dipercayai terjatuh sewaktu melakukan kerja di tapak pembinaan tersebut.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.06 pagi dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya kemudiannya dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa ke tempat lapang oleh pekerja lain untuk bantuan.
Ketua operasi melaksanakan size up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi turut memberi bantuan pernafasan kepada mangsa, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan tamat sekitar jam 10.45 pagi. – MG Peral
Artikel Berkaitan: