Buruh pesan isteri setia selepas dipenjara 24 bulan

KUANTAN – Seorang buruh meminta isterinya kekal setia setelah mengaku bersalah mencuri dan menyimpan harta curi di Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh, Shahrul Ezwan Nordin, 40, yang dijatuhi hukuman penjara 24 bulan menzahirkan rasa kesal pada prosiding hari ini.

”Farah Hanis, tolong setia ya,” katanya sambil tersenyum kepada pengamal media.

Terdahulu Shahrul Ezwan yang mengaku bersalah di hadapan dua majistret Majistret Siti Aisyah Abdul Wahab dan Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman berikutan pertuduhan dibicarakan dalam dua kamar berasingan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad dan Siti Aishah Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syafiqah Syeba Atan dan Nur Hafidza Baharudin.

Bagi pertuduhan pertama beliau dihukum penjara lapan bulan setelah didapati mencuri sebuah telefon bimbit jenis Vivo V23E pada jam 6.03 petang 3 Jun 2024 di sebuah kedai runcit di Kuala Penor, dekat sini.

Bagi kesalahan itu dia dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Shahrul dihukum penjara 16 bulan bagi pertuduhan kedua yang mana beliau dituduh dengan niat telah mencuri sebuah kereta jenama Honda City pada tarikh yang sama sekitar jam 5.10 petang bertempat stesen minyak Shell Semambu, dekat sini.

Dia didakwa di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Bagi hukuman pertuduhan ketiga membabitkan menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Honda EX5 di sebuah setesen minyak Shell Jalan Semambu pada 3 Jun 2024 di bawah kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan akan diputuskan pada 31 Julai depan.

Dalam pembelaan, peguam memohon budi bicara mahkamah dalam menentukan hukuman susulan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan perjalanan prosiding kes.

Dalam rayuan itu, mahkamah juga dimaklumkan tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan enam orang anak yang mana tiga masih bersekolah.

Pada 4 Julai lalu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki melarikan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Kuantan sebelum meninggalkan seorang warga emas di tepi jalan.

Lelaki itu kemudian dikatakan meneruskan perjalanan sehingga ke Bentong dan menceroboh sebuah rumah dan mengurung lima sekeluarga dalam bilik di Kampung Cinta Manis di Karak sebelum diberkas pihak polis. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI