LEMBAH Kinta di negeri Perak amat terkenal sebagai kawasan tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan keindahan bukit batu kapur serta landskap tasik yang unik.
Keindahan panorama yang dikelilingi formasi batuan karst menjanjikan suatu pengalaman luar biasa bagi setiap pengunjung.
Keunikan ini menjadikan Bandar Raya Ipoh sebagai destinasi wajib kunjung, terutamanya bagi mereka yang mendambakan ketenangan hijau di tengah-tengah kerancakan pembangunan bandar.

Terletak di tengah-tengah ibu negeri Perak, Tasik Cermin Ipoh merupakan antara ikon pelancongan terkenal sama ada dalam kalangan pelancong dari dalam mahupun luar negara.
Tidak hanya menjadi lokasi untuk aktiviti riadah santai seperti aktiviti berswafoto atau menaiki bot semata-mata, pusat rekreasi itu kini menyediakan satu lagi segmen pelancongan lasak buat pengunjung.
Menurut Pembantu Kanan Pelancongan Tasik Cermin Ipoh, Mohamad Huzairi Ahmad Zolkifli@Uda, aktiviti menunggang kenderaan rupa bumi (ATV) dan memanjat batu atau ‘rock climbing’ semakin mendapat perhatian sejak mula diperkenalkan pada tahun lalu.

Katanya, trek ATV sepanjang 750 meter memberikan pengalaman mencabar buat pengunjung apabila perlu mengharungi laluan yang berbatu, berbukit serta berselekoh.
“Trek ATV di sini tidak seperti permainan lain yang mendatar, sebaliknya ia mempunyai pelbagai rintangan seperti ‘double bump’, tayar dan laluan mendaki bukit. Jadi ia beri pengalaman yang lebih menyeronokkan.
“Sebanyak 12 unit ATV disediakan untuk pelanggan pada satu-satu masa, manakala dua unit lagi dikhaskan untuk kegunaan marsyal bagi tujuan pemantauan sepanjang sesi permainan,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Mengulas lanjut Mohamad Huzairi berkata, aspek keselamatan merupakan perkara yang diberikan keutamaan dalam mengendalikan aktiviti berkenaan.

“Setiap pengunjung akan diberikan taklimat keselamatan sebelum aktiviti menunggang ATV bermula.
“Untuk pusingan pertama, marsyal akan mengetuai perjalanan bagi memastikan pelanggan memahami selok-belok dan laluan di trek.
“Pusingan seterusnya pula memberi ruang kepada pelanggan untuk menunggang sendiri dengan pemantauan berterusan pada sepanjang tempoh 30 minit,” ujarnya.
Kata beliau, pihak pengurusan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati aktiviti menunggang ATV tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Untuk yang boleh memandu, kita hadkan pada umur 16 tahun ke atas. Manakala bagi mereka yang berumur di bawah had tersebut, mereka cuma dibenarkan menjadi penumpang di belakang sahaja.
“Bagi individu yang tidak pernah mengendalikan sebuah motosikal, ia boleh menjadi sangat membahayakan jika tidak dipantau,” katanya lagi.
Menurut Mohamad Huzairi, sejak beroperasi pada Februari tahun lalu, aktiviti ATV di Tasik Cermin Ipoh mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Debaran adrenalin di dinding batu kapur
Selain deruan enjin ATV, Tasik Cermin Ipoh turut menawarkan aktiviti memanjat batu yang memanfaatkan sepenuhnya keindahan geografi batu kapur yang berada di kawasan sekitar.
Mohamad Huzairi memaklumkan, sejak mula diperkenalkan sekitar September tahun lalu, aktiviti itu menjadi antara tumpuan pengunjung khususnya dalam kalangan pelancong antarabangsa yang gemar akan aktiviti lasak di kawasan bukit batu kapur.

“Kebanyakan pelanggan yang datang mencuba aktiviti mendaki ini adalah pelancong asing.
“Mereka datang khusus untuk merasai sendiri pengalaman memanjat batuan kapur asli yang terdapat di Perak ini, yang mana ia mempunyai keunikan tersendiri bentuk permukaan dan sebagainya,” jelasnya.

Kata beliau, terdapat empat laluan atau ‘routes’ utama yang disediakan dengan ketinggian antara 6.9 meter sehingga 23 meter, namun tahap kesukaran masih berada pada kategori sesuai untuk pemula atau ‘beginner’.
Ujar Mohamad Huzairi, setiap pengunjung akan dibekalkan dengan peralatan keselamatan yang lengkap seperti ‘harness’, helmet, dan beg kapur.

“Sama seperti aktiviti menunggang ATV, setiap pengunjung akan diberikan taklimat keselamatan sebelum dibenarkan untuk melakukan aktiviti memanjat batu.
“Bagi mereka yang tidak memakai kasut sesuai, kami ada menyediakan perkhidmatan sewaan kasut khas pendakian bagi memastikan keselamatan semasa memanjat berada pada keadaan baik,” katanya.
Dua aktiviti baru di Tasik Cermin Ipoh bukan sahaja menjadi nilai tambah kepada tarikan pelancongan di kawasan rekreasi itu, malah ia mengukuhkan lagi kedudukan Ipoh dan Perak amnya, sebagai destinasi ‘adventure tourism’ yang semakin berkembang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jok Maduh D Kenang buka peluang penduduk Orang Asli jana pendapatan


