IPOH – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersedia untuk meneliti cadangan supaya komuniti Baba Nyonya dan Chetti di negara ini diangkat sebagai ikon perpaduan negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya terbuka untuk mempertimbangkan cadangan tersebut selaras usaha memperkukuh keharmonian serta integrasi antara kaum di Malaysia.
“Terima kasih atas cadangan itu. Kita akan meneliti dan melihat bagaimana mereka boleh diangkat sebagai ikon perpaduan.
“Dan sememangnya, kita mempunyai banyak ikon perpaduan di negara ini (daripada pelbagai latar belakang merentasi kaum dan peranan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Cek Cura atau Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Peringkat Ipoh di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua, di sini, pada Sabtu.
Pada program beliau menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada 10 wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Ipoh.
Aaron terdahulu diminta mengulas berkenaan cadangan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, agar komuniti Baba Nyonya dan Chetti di Melaka diiktiraf secara rasmi sebagai ikon perpaduan negara.
Ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, Bakri berkata, dua komuniti itu memiliki pelbagai keunikan daripada sudut budaya, makanan dan sebagainya, justeru ia mampu menjadi jambatan perpaduan antara kaum di negara ini.
Mengulas lanjut Aaron berkata, pihaknya turut menerima banyak cadangan daripada orang awam untuk mengangkat tokoh-tokoh kepimpinan dan individu tertentu sebagai ikon perpaduan.
Bagaimanapun jelas beliau, setiap cadangan yang dibawa perlu dinilai secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Kata beliau, sebelum ini kerajaan juga telah mengiktiraf beberapa individu bagi dijadikan sebagai ikon perpaduan, termasuk Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
“Pada masa sama, Yayasan Sukarelawan Siswa misalnya, kita mempunyai ejen-ejen perpaduan, walaupun mereka tidak disebut secara rasmi sebagai ikon,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan Aaron berkata, Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada kepada pengukuhan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai jentera utama Kementerian Perpaduan Negara.
Kata beliau, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi Program KRT Progresif pada tahun 2024 dan RM16 juta pada 2025.

Jelas Aaron, bagi tahun ini pula, peruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diberikan dan masih berada di bawah pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF) untuk penambahan.
“KPN telah membuat permohonan agar geran tahunan KRT dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 atau RM12,000, namun masih belum mendapat kelulusan atas pelbagai faktor teknikal,” ujar beliau.
Tambah Aaron, pada tahun ini, Program Satelit MADANI juga akan diperluaskan ke 15 lokasi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, Perak, Sarawak, selain penganjuran program khas seperti Kenduri MADANI bagi memperkukuhkan hubungan antara masyarakat setempat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lantik semua wakil parti Kerajaan Perpaduan ke Kabinet demi kestabilan


