IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan untuk memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal ke universiti awam sebagai tidak wajar.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, segala sistem berkaitan proses kemasukan ke universiti yang laksanakan ketika perlu dikekalkan.
“STPM ada fungsi tersendiri, begitu dan juga dengan matrikulasi yang juga ada fungsi dan tanggungjawab tersendiri. Jadi dalam keadaan sekarang ini ia harus berjalan seiringan.
“Kalau ada penambahbaikan yang perlu kita (kerajaan) buat, itu kita buat penambahbaikan. Tetapi saya tidak fikir pada ketika ini program matrikulasi wajar untuk dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin serta Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Asmuni Awi.
Pada Jumaat media melaporkan, Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) mencadangkan agar memansuhkan program matrikulasi dan STPM dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Presiden UMANY, Tang Yi Ze berpendapat, silibus STPM terbukti lebih baik, lebih mencabar selain diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk oleh universiti ternama dunia.
Mengulas lanjut Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, kerajaan pastinya terbuka terhadap setiap cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara dan percaya isu berkenaan akan dibincangkan secara teliti oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Cadangan (pemansuhan) itu daripada sebahagian pelajar dan pertubuhan mahasiswa. Saya fikir tidak ada masalah untuk mana-mana pihak memberikan cadangan. Cuma bagi saya, apa yang ada ini, kita perlu teruskan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas tentang isu Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, Muhammad Kamil memberitahu, tindakan pihak tertentu mengaitkan isu tersebut dengan kegagalan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.
Jelas beliau, pewartaan tanah kawasan berkenaan dibuat pada tahun 2021 ketika kerajaan diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut melibatkan PAS, BERSATU dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada kerajaan pada ketika itu.
“Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah urusan pemaju yang melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah. Ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan.
“Jadi, dengan mengaitkan seolah-olah kerajaan gagal urus hal ini hanyalah cubaan membangkitkan sentimen politik kebencian, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.
Tegas Muhammad Kamil, tindakan sesetengah pihak termasuk yano mengugut untuk membunuh Perdana Menteri sebagai reaksi terhadap isu berkenaan disifatkan sebagai salah satu bentuk politik ekstrem yang harus ditolak.
“Negara kita tidak boleh mengizinkan mana-mana pihak menyemai benih kebencian kaum dan agama dengan mengambil kesempatan dalam sesuatu krisis. Politik sebegini mesti kita tentang,” kata beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan beri jaminan kuota bumiputera ke matrikulasi kekal – PM Anwar