Cadangan naik umur persaraan, sekat peluang kerja belia, graduan

IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan cadangan menaikkan umur persaraan wajib dari 60 kepada 65 tahun akan menyempitkan peluang kerja bagi generasi muda.

Exco Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Airil Fitri Jalalludin berkata, kerajaan seharusnya menumpukan perhatian kepada isu pengangguran belia dan graduan yang semakin meruncing, bukannya melanjutkan umur persaraan.

Menurutnya, menaikkan umur persaraan hanya akan menambah kadar pengangguran dan menjejaskan keyakinan terhadap masa depan ekonomi negara.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2024 menunjukkan bahawa kadar pengangguran bagi belia berumur 15–24 tahun kekal tinggi pada 10.4 peratus manakala golongan 15–30 tahun mencatat kadar 6.2 peratus.

“Dalam kalangan graduan pula, ketidakpadanan antara kemahiran dan pekerjaan terus menjadi isu utama.

“Laporan Khazanah Research Institute mendedahkan, lebih satu pertiga graduan bekerja dalam bidang yang tidak sejajar dengan kelayakan akademik mereka, dan kekal dalam situasi itu untuk tempoh lama.

“Peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang dicipta sejak beberapa tahun kebelakangan ini masih tidak mencukupi bagi menampung bilangan graduan yang meningkat setiap tahun.

“Ini membuktikan pasaran kerja semasa tidak berkembang selari dengan sistem pendidikan negara,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Airil Fitri juga menggesa supaya kerajaan meningkatkan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, dan merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan pasaran kerja.

“Justeru, sebarang cadangan besar seperti perubahan umur persaraan wajib dibincangkan secara terbuka dan inklusif melibatkan suara anak muda, industri, pakar pendidikan dan organisasi belia.

“Kita tidak boleh membuat keputusan hanya dengan meniru negara luar tanpa mengambil kira realiti di Malaysia,” tegasnya.

Semalam media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu masih sihat dan berpengalaman. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Graduan pengiklanan, pendidikan awal kanak-kanak UPSI jadi rebutan majikan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI