IPOH – Kertas cadangan untuk pembangunan aktiviti ‘paragliding’ atau luncur layar di Gunung Semanggol, di Bagan Serai tidak pernah dibawa ke pihak berkuasa negeri.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, malah cadangan itu juga telah dibatalkan pentadbiran sebelum ini yang mana ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria menjawat jawatan Exco.
“Dalam perbualan saya dengan mantan-mantan pegawai di daerah tersebut, saya mendapati bahawa perkara tersebut memang pernah dibawa dan diluluskan (di peringkat daerah).
“Akan tetapi ia juga dibatalkan dalam pentadbiran terdahulu semasa beliau (Razman) masih menjadi Exco.
“Oleh itu, saya harap sekiranya beliau ingin membawakan isu tersebut, sila bawa kepada pegawai-pegawai dan lakulah libat urus dengan pegawai-pegawai berkaitan.
“Ini kerana, pegawai-pegawai (berkenaan adalah) yang sama juga bekerjasama dengan beliau semasa menjadi kerajaan. Tetapi janganlah apabila kita menjadi pembangkang, pegawai sama juga yang kita nak fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Sze Yee memberitahu kawasan Gunung Semanggol merupakan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak kerana ia telah diwartakan sebagai Hutan Simpan.
Jelas beliau lagi, cadangan untuk diadakan aktiviti luncur layar di kawasan berkenaan telah dibangkitkan Razman dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan pembangunan daerah yang mana kali terakhir diadakan pada Jun lalu.
Menurut beliau, dalam mesyuarat berkenaan, ADUN berkenaan telah mengusulkan agar Majlis Daerah Kerian untuk menilai cadangan berkenaan memandangkan ia boleh dijadikan sebagai salah satu skop pelancongan.
“Namun begitu, Majlis Daerah Kerian memaklumkan mereka perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri.
“Dan isu yang paling utama adalah perlu dijalankan kajian kesesuaian tapak terlebih dahulu sebelum membenarkan mana-mana operator untuk mengoperasikan aktiviti ‘paragliding’ yang dicadangkan.
“Kajian terperinci perlu dijalankan bagi melihat kepada keadaan ‘track field’, jangkaan jumlah pengunjung, keselamatan kawasan dan sebagainya,” ujarnya.
Pada Selasa, MG Perak melaporkan Razman meminta Kerajaan Negeri Perak untuk memberi perhatian kepada produk-produk pelancongan sama ada sedia ada atau yang baharu di sekitar Gunung Semanggol.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, ia termasuk aktiviti mendaki gunung dan luncur layar di kawasan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Beri tumpuan pelancongan Gunung Semanggol – Pembangkang Perak