Cadangan UWO, pencen bulanan diteliti sebelum dilaksana – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum bersedia melaksanakan Perintah Kekayaan Tidak Dapat Dijelaskan (UWO) meskipun menerima cadangan untuk diperkenalkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan bagaimanapun akan mengkaji isu berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Kita akan mengkaji idea-idea yang bernas sebelum pelaksanaan dan saya terima cadangan untuk melihatnya, dan kita akan mengkaji terlebih dahulu dan memahami isu-isu (berkaitan) kerana kita tidak mahu  kesan yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dilaporkan berkata Malaysia memerlukan UWO agar semua golongan elit bertanggungjawab dengan sumber kekayaan mereka.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga akan meneliti usaha untuk memperkenalkan pembayaran pencen secara bulanan sebagai sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan sistem saraan negara.

Beliau berkata kajian menyeluruh perlu dilaksanakan supaya kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal dapat diperhalusi.

“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila seseorang mendapat akses penuh, ramai yang cepat menghabiskan wang itu. Jadi, apabila mereka sampai ke usia tua, mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

“Saya percaya dalam kajian itu, kita akan melihat pelbagai kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, inisiatif ini adalah untuk mereka yang baru menyertai Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan untuk mereka yang sudah berada dalam sistem,” katanya.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada 31 Julai lepas, kerajaan akan meneroka mekanisme baharu untuk menjamin pendapatan berterusan selepas bersara melalui pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen utama iaitu simpanan persaraan dan pencen bulanan.

 

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI