Cadangan warta Sungai Galah sebagai Zon Industri Akuakultur dalam semakan teknikal

IPOH – Jabatan Perikanan Perak bersama agensi berkaitan dalam proses semakan teknikal dan penilaian menyeluruh untuk mewartakan lombong Sungai Galah, Kampung Gajah sebagai Zon Industri Akuakultur.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penilaian yang dilakukan meliputi aspek keselamatan, kesesuaian tapak, kualiti air serta kapasiti stok ikan.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Perak sentiasa mengambil kira potensi sumber perikanan darat termasuk kolam dan lombong, khusus di Sungai Galah sebagai salah satu langkah memperkukuhkan sekuriti makanan negeri.

“Kita juga melihat potensi sosio ekonomi khusus dalam menjana pendapatan nelayan setempat di samping impak terhadap alam sekitar dan komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Zafarulazhan Zan (PN-Kampung Gajah) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Mohd Zolkafly berkata, hasil semakan teknikal dan penilaian menyeluruh berkenaan akan menjadi asas kepada cadangan mewartakan kawasan seluas kira-kira 500 ekar itu sebagai kawasan nelayan darat.

“Insya-Allah kertas cadangan akan dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak untuk urusan pewartaan.

“Kita juga berharap proses penilaian teknikal dan konsultasi awal ini dapat diselesaikan sebelum keputusan muktamad pewartaan dapat diumumkan selari hasrat Kerajaan Negeri untuk memperluas kawasan pengeluaran sumber protein tampatan.

“Selain itu juga kita berhasrat ia bakal menyediakan peluang ekonomi baharu kepada komuniti nelayan darat di sekitar Sungai Galah,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI