TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek mengumumkan lima tawaran dipanggil ‘Tekad Muhaimin Untuk Rakyat’ kepada pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Tawaran berkenaan menggariskan lima perkara meliputi tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar; ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa; khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian; akses kemudahan dan infrastruktur dipertingkat serta dengar suara rakyat.
Menurut Muhaimin, TEKAD bukan hanya sekadar janji, tetapi satu iltizam jangka panjang untuk membawa perubahan yang realistik, menyeluruh dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.
“Hari ini, dengan penuh rasa tanggungjawab dan tekad untuk berkhidmat, saya ingin
mempersembahkan kepada seluruh pengundi Ayer Kuning sebuah tawaran yang
saya namakan sebagai TEKAD – Tekad Muhaimin Untuk Rakyat.
“Insya-Allah, jika diberi mandat, saya akan pastikan TEKAD ini diterjemah menjadi
tindakan nyata demi kesejahteraan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman tawaran berkenaan di Pusat Media Perikatan Nasional PRK N48 Ayer Kuning, di SRITI Bidor, di sini pada Selasa.
Abd Muhaimin berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera termasuk dirinya sendiri dalam menyebarkan tawaran yang diumumkannya itu kepada pegundi Ayer Kunong.
“Kita akan gunakan seluruh jentera yang ada termasuk diri saya dan media. Kita akan guna seluruhnya untuk menyampaikan TEKAD kita ini.
“Saya juga secara peribadi akan gunakan hati saya untuk menyentuh hati mereka (pengundi Ayer Kuning) dalam merealisasikan TEKAD ini,” katanya. -MG Perak