IPOH – Calon yang tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran merebut peluang menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, penyertaan dalam bidang TVET dapat memastikan masa depan mereka lebih terjamin menerusi kemahiran yang diperoleh.
“Saya cukup bersetuju saranan Timbalan Perdana Menteri supaya memberi ruang dan peluang kepada pelajar yang keciciran SPM ini untuk ditempatkan di institusi-institusi TVET, tambah pula di Perak kita ada lebih kurang 100 institusi pendidikan yang mungkin lebih 60 institusi menawarkan kemahiran TVET.
“Kita gunakan platform ini untuk membantu supaya pelajar yang tercicir ini ada peluang untuk meningkatkan pembelajaran mereka khususnya dalam bidang teknikal dan kemahiran,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Kem Belia Kreatif 2024 di Bazar Ipoh Silveritage, dekat sini, pada Ahad.
Khairudin juga diminta mengulas peningkatan yang tidak ketara bagi pelajar bangsa lain selain bangsa Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC).
Menurut beliau, keadaan itu dipengaruhi oleh halatuju dan kemahuan ibu bapa bagi pendidikan anak-anak mereka.
“Mungkin ibu bapa yang menghantar anak di SJKC ini, mereka mahukan anak mereka belajar bahasa mandarin sebab kalau disekokah aliran perdana sekolah kebangsaan(sk) mungkin dia belajar dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
“Mungkin dari segi kemudahan belajar, ataupun kaedah pembelajaran yang mungkin menarik minat untuk anak-anak ataupun ibu bapa yang bukan berbangsa Cina menghantar anak-anak ini belajar di SJKC.
“Yang penting kita mahu tidak ada keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak, tidak kira lah dia berada di SK, SJKC, SJKT (Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil) atau sekolah-sekolah agama,”ujar beliau – MG Perak.