‘Catching Up with Doc Zam’ buka ruang mahasiswa UPSI berinteraksi dengan Zambry

TANJUNG MALIM – Sembang santai ‘Catching Up with Doc Zam’ memberi peluang kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membincangkan cabaran dan harapan dalam dunia pendidikan tinggi pada masa kini.

Pada program itu, mahasiswa dapat berinteraksi secara terus untuk bertanya dan mendengar pandangan langsung dari Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Zambry, program tersebut turut  menjadi medan untuk mahasiswa meluahkan pandangan dan isu yang mereka hadapi sewaktu belajar.

“Minggu Suai Kenal ini tetap akan diadakan di universiti kerana manfaatnya yang besar terhadap mahasiswa yang baru memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

“Program seumpamanya memberi peluang kepada mahasiswa baharu saling mengenali dan sangat membantu dalam meneruskan pengajian.

“Ketika saya belajar dahulu, ada rakan dari keluarga susah yang memiliki sifat malu yang tinggi, saya lihat dia pergi kantin membeli nasi dan kuah sahaja kerana kesusahan.

“Justeru, kisah tersebut mendorong saya merancang untuk membantu mahasiswa dari segi kebajikan khususnya dari keluarga susah menerusi pelbagai pendekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Catching Up with Doc Zam’ di Dewan Muallim di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, semalam

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pro Canselor UPSI, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom serta KetuaPengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.

Program itu menjadi pentas untuk beliau berinteraksi bersama lebih 200 Rakan MILLENIA dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sempena Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu mahasiswa yang berada dalam kesusahan dan menjaga kebajikan mereka di seluruh negara.

“Diakui UPSI adalah antara universiti yang paling aktif menjayakan program mobiliti pelajar dan itu antara perkara utama dari aspek pengantarabangsaan universiti.

“Sesi ini bukan sahaja memberikan peluang kepada mahasiswa memahami hala tuju pendidikan negara, malah memupuk hubungan lebih rapat antara pemimpin pendidikan dan generasi masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya berkata, kegigihan Zambry dari anak seorang nelayan mengharungi pengajian hingga hari ini berjaya dalam dunia politik perlu menjadi contoh kepada mahasiswa UPSI.

“Ini adalah simbol komitmen korporat terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, menzahirkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri,“ jelasnya.

Pada program itu turut diadakan  penyerahan sumbangan lima pelajar yang menerima bantuan pendidikan dari Yayasan Perkasa Siswa sebagai dorongan dalam usaha akademik mereka.

Amirul Haiqal Amiruddin Baki mewakili Majlis Perwakilan pelajar (MPP) menerima Geran Aktiviti MPP bernilai RM20,000 kepada sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pelajar di UPSI selain bantuan pendidikan  berjumlah RM25,000 untuk kepada pelajar yang memerlukan.

Pengarah PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar turut menyerahkan zakat berjumlah RM400,000 manakala Pengarah Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman pula menyampaikan zakat sebanyak RM350,000 sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) zakat untuk program pembangunan pelajar UPSI .

Wakil Rakan MILLENIA, Muhammad Filous Iman Arifin pula menerima sijil penghargaan atas usaha gigih mereka dalam memastikan kejayaan dan kelancaran program Minggu Intelaktual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

4,195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda mendaftar di UPSI

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI