CCTV AI kurangkan 90 peratus aktiviti sampah haram

IPOH – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) berjaya mengurangkan 90 peratus masalah kegiatan sampah haram di lima lokasi di sekitar Simpang Pulai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, ia melibatkan kawasan ‘hotspot’ sampah haram di Pasar Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, ⁠Persiaran Wira Jaya Timur 50,⁠ ⁠Jalan Desa Ampang 25 serta ⁠Jalan Harilela A1 Taman Rapat Setia.

CCTV AI kamera AI Simpang Pulai Pasar Gunung Rapat Chai Yi sampah haram
ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi menunjukkan paparan CCTV AI pada telefon pintar selepas meninjau pemasangan CCTV di Pasar Gunung Rapat di Taman Rapat Setia, Ipoh.

Katanya, kejayaan itu hasil inisiatif yang digerakkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai sejak Disember lalu melalui peruntukan sebanyak RM50,000.

“CCTV yang berteknologi AI ini boleh zum dengan lebih jelas terhadap mana-mana individu atau kenderaan yang disyaki mahu melakukan aktiviti sampah haram, tanpa mengira situasi cuaca mahupun pada waktu malam.

“Kamera itu juga turut dihubung kepada ‘command centre’ atau pusat kawalan, pusat khidmat serta telefon pintar ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membantu kita mengesan pihak yang terlibat aktiviti sampah haram.

“Setiap video yang dirakam boleh dimuat turun untuk kita serahkan kepada MBI bagi tindakan kompaun. Dan setakat ini sudah ada lima kes yang diserahkan kepada MBI mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ,” katanya.

CCTV AI kamera AI Simpang Pulai Pasar Gunung Rapat Chai Yi sampah haram
CCTV yang dipasang di Pasar Gunung Rapat di Taman Rapat Setia, Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pemasangan CCTV di Pasar Gunung Rapat di Taman Rapat Setia dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing serta Ahli Majlis MBI Zon Rapat Setia, Chung Cum Cheong.

Tambah Chai Yi, susulan itu pihaknya juga kini sedang mempertimbangkan permohonan pemasangan CCTV sama di dua lokasi lain di Simpang Pulai sebagai usaha menyelesaikan masalah sampah haram.

CCTV AI kamera AI Simpang Pulai Pasar Gunung Rapat Chai Yi sampah haram
CCTV yang dipasang di Pasar Gunung Rapat di Taman Rapat Setia, Ipoh.

Menurut beliau, masalah itu disifatkan sebagai serius selain sering menjadi rungutan dalam kalangan penduduk terutama yang mendiami kawasan berhampiran dengan lima hotspot tersebut.

Kata beliau, ia kerana situasi itu kemudiannya membawa kepada masalah lain seperti pencemaran bau busuk dan lalat yang akhirnya mewujudkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

“Seperti di Pasar Gunung Rapat ini, MBI ada menempatkan tong sampah roro untuk memudahkan penduduk setempat mengumpulkan sampah.

“Namun ia menjadi masalah apabila sampah berkenaan tidak dibuang dengan baik ke dalam tong, sebaliknya hanya diletakkan di sekeliling sehingga ada yang terjatuh ke dalam longkang,” jelasnya.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing (tengah) ditemui pemberita selepas meninjau pemasangan CCTV di Pasar Gunung Rapat di Taman Rapat Setia, Ipoh.

Sementara itu, Kar Hing berkata, inisiatif pemasangan CCTV berkenaan bukan bersifat untuk menghukum, sebaliknya ia sebagai mendidik orang ramai supaya membuang sampah di tempat yang disediakan dengan cara yang betul.

“Kita sedih melihat apabila kesedaran orang ramai masih lagi kurang memuaskan, ada tong (sampah) tetapi kosong, manakala sampahnya pula yang berlonggok di tepi. Hal itu yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan dana memasang CCTV ini. ” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Buang sampah: MBI keluar kompaun RM498,750

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI