‘Cendol Abang Kacak’ tidak hanya bergantung tular media sosial

‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’

Pemuda yang pernah tular dengan gelaran ‘Abang Kacak’ selepas gambarnya menjual cendol di Ipoh mencuri perhatian warganet pada tahun 2016, kini berjaya menjadikan perkara itu sebagai pemangkin kejayaan perniagaannya.

Bermula hanya dengan motosikal roda tiga, Kelvinraj, 27, berkata, perniagaan yang diwarisi daripada keluarga selepas menamatkan alam persekolahan itu kini berkembang dengan memiliki tapak tetap di Jalan Bandar Timah dan Jalan Yang Kalsom, Ipoh.

Katanya, dia mula mempelajari menyediakan cendol daripada ibunya ketika perniagaan itu bermula sekitar tahun 2015 dengan menggunakan motosikal roda tiga di sekitar Buntong sebelum beralih ke kawasan di sekitar Lorong Panglima atau dikenali dengan nama Concubine Lane di Pekan Lama Ipoh.

Cendol Abang Kacak Ipoh Kelvinraj Wawasan Cendol, cendol viral Ipoh, cendol sedap Ipoh, cendol pelancong Ipoh, cendol terkenal Perak, cendol durian Ipoh, Abang Kacak jual cendol
Peniaga cendol, Kelvinraj, 27, yang pernah tular dengan gelaran ‘Abang Kacak’ menyiapkan cendol untuk dihidangkan kepada pelanggannya di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

Tidak mahu sekadar bergantung pada tular di media sosial, anak kedua daripada empat beradik itu menegaskan bahawa dia sentiasa menjaga kualiti serta cita rasa hidangan pencuci mulut tradisi itu agar terus menambat hati pelanggan.

“Impak daripada tular memang membantu perniagaan ini lebih dikenali ramai, tetapi untuk terus bertahan, kualiti cendol perlu sentiasa konsisten bagi memastikan kepuasan pelanggan.

“Tambahan pula, kami menitikberatkan aspek kebersihan sama ada di premis kedai mahupun pada motosikal roda tiga,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, baru-baru ini.

Cendol Abang Kacak Ipoh Kelvinraj Wawasan Cendol, cendol viral Ipoh, cendol sedap Ipoh, cendol pelancong Ipoh, cendol terkenal Perak, cendol durian Ipoh, Abang Kacak jual cendol
Peniaga cendol, Kelvinraj, 27, yang pernah tular dengan gelaran ‘Abang Kacak’ menyiapkan cendol untuk dihidangkan kepada pelanggannya di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

Menurut Kelvinraj, ketika penghujung 2016, dia hanya menyedari wajahnya tular di media sosial selepas diberitahu ahli keluarga dan rakan terdekat tentang perkara itu kepadanya.

Ujarnya lagi, selepas mendapat perhatian meluas daripada warganet, jualan hariannya kemudian meningkat hampir 50 peratus berbanding sebelum itu, sehingga mampu menjual antara hingga 300 mangkuk cendol sehari, terutama pada hujung minggu.

Kata Kelvinraj, ia bertambah baik apabila perniagaan cendol yang diusahakan mampu untuk menyewa tapak di beberapa pasar malam di sekitar bandar raya ini, di samping kerap menerima tempahan untuk majlis-majlis kecil.

Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

“Pada asalnya perniagaan kami dikenali sebagai Wawasan Cendol, tetapi selepas wajah saya tular di media sosial pada Disember 2016, orang lebih mengenali dengan nama ‘Cendol Abang Kacak’.

“Sejak itu, kami menukar nama rasmi perniagaan dan terus dikenali sebagai Wawasan Cendol Abang Kacak,” ujarnya.

Pelanggan menikmati cendol di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

Kedai tumpuan orang ramai, pelancong

Di deretan premis perniagaan di Jalan Bandar Timah, Wawasan Cendol Abang Kacak kini menjadi antara lokasi wajib singgah bukan sahaja penduduk tempatan, malah juga pelancong dari dalam dan luar negeri yang ingin menikmati manisan penyejuk tekak.

Menurut Kelvinraj, resipi asli keluarga terus dikekalkan dengan penggunaan santan segar, gula melaka dan pulut yang dihasilkan sendiri.

Pelbagai jenis cendol di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025
Pelanggan menikmati cendol di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

“Kami menyediakan tiga pilihan menu utama iaitu cendol kacang, jagung dan kacang pulut, pada harga RM6 untuk makan di kedai dan RM7 untuk bungkus dengan saiz lebih besar.

“Tarikan utama kami ialah cendol durian berharga RM20 yang menggunakan gabungan isi durian D24 dan Musang King,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun terdapat cadangan agar cawangan perniagaan Wawasan Cendol Abang Kacak dibuka di luar Perak, namun dia memilih untuk mengekalkan operasi di Ipoh bagi memastikan kawalan kualiti.

“Untuk tempoh masa ini, saya hanya mahu fokus kepada perniagaan di Ipoh sahaja kerana jika di sini, saya boleh pantau daripada segi tahap kualiti cendol yang dihasilkan.

“Kami mahu agar rasa cendol sentiasa sama setiap kali pelanggan datang. Kalau sekali sedap, sekali tak sedap, pelanggan tak akan datang lagi ke kedai,” katanya.

Pelbagai barangan antik sebagai daya penarik tambahan buat pengunjung di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

Selain mempamerkan gambar pelanggan terkenal seperti bekas menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penyanyi rock Datuk Amy Search, kedai itu turut dihiasi pelbagai barangan antik sebagai daya penarik tambahan buat pengunjung.

“Barang-barang antik yang dihiaskan di kedai ini sebahagiannya koleksi peribadi daripada ayah saya, dan ada juga yang diperoleh daripada rakan-rakan dia,” katanya lagi.

Peniaga cendol, Kelvinraj, 27, yang pernah tular dengan gelaran ‘Abang Kacak’ menyiapkan cendol untuk dihidangkan kepada pelanggannya di Wawasan Cendol Abang Kacak, Jalan Bandar Timah, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2025

Bagi pelanggan setia, Wawasan Cendol Abang Kacak bukan sekadar tempat mencari hidangan pencuci mulut tempatan, tetapi ia adalah lambang kecekalan seorang anak muda yang berani mencipta peluang daripada bawah.

Usaha ini juga dilihat menyahut aspirasi pelancongan warisan di bawah tumpuan daerah di Kinta sebagaimana digariskan di Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Di samping itu, industri makanan dan minuman (F&B) merupakan penyumbang penting kepada ekonomi setempat, dan pelan berkenaan menyokong pertumbuhan sektor itu melalui inisiatif seperti promosi produk tempatan, pembangunan usahawan, dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Istiadat ratusan tahun Datuk Panglima Kinta kembali diadakan

VIDEO PENUH:

MGPerak: ‘Cendol Abang Kacak’ Tidak Hanya Bergantung Tular Media Sosial

MGPerak: ‘Cendol Abang Kacak’ Tidak Hanya Bergantung Tular Media Sosial

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI