DI SEBALIK kehidupan dunia yang semakin moden dengan ledakan arus digital masih wujud insan yang mencari rezeki halal di tapak pelupusan sampah.
Mereka dikenali sebagai ‘scavenger’ atau pengutip sampah yang setiap hari bergelumang serta meredah tapak pelupusan sampah untuk mencari sisa bernilai supaya dapat dijadikan sumber pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga tercinta.
Mungkin masih terdapat segelintir masyarakat melihat pekerjaan ini kotor dan menjijikkan namun bagi pengutip sampah, plastik, besi buruk, kertas, atau botol kosong adalah ‘harta’ yang boleh ditukar menjadi wang.
8 jam sehari cari hasil
Badrul Hisyam Azmi @ Bujang, 38, yang pernah bekerja di sebuah kilang sarung tangan memilih untuk menjadi pengutip sampah berlesen di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Kampar (MDKpr) selepas wabak Covid-19 melanda negara pada tahun 2020.
Bapa kepada dua orang cahaya mata ini mengambil masa sehingga lapan jam setiap hari di tapak pelupusan tersebut bagi mencari bahan buangan yang boleh dijual dan dikitar semula untuk dijadikan sumber rezeki.
“Setiap hari saya memperuntukkan masa antara tujuh hingga lapan jam mengutip barang-barana buangan seperti botol plastik, tin aluminium, besi dan lain-lain.
“Ketika melakukan kerja tersebut, kami (pengutip sampah) akan terdedah dengan risiko terpijak barang berbahaya seperti kaca atau paku.
“Malah saya sendiri pernah terpijak kaca ketika melakukan kerja tersebut namun kecederaan dialami tidak begitu serius,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak di Tapak Pelupusan Sampan MDKpr, di Sungai Siput Selatan baru-baru ini.
Mampu peroleh RM100 sehari
Menurutnya, cuaca juga adalah salah satu faktor penting kerana ia akan menentukan jumlah hasil yang mampu dikutip di tapak pelupusan berkenaan.
“Kalau hujan, saya tetap bekerja, tetapi ia sedikit susah sebab keadaan tapak yang basah dan bila pijak, kaki saya akan tenggelam sedikit dalam timbunan sampah,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pendapatan, Badrul Hisyam memberitahu, dalam sehari dia mampu mengutip barangan seberat 100 kilogram (kg) dan boleh memperoleh pendapatan sehingga RM100 sehari.
“Kadang-kadang jumlah kutipan sekitar 80 ke 90kg dan pernah juga mencapai lebih 100kg. Pendapatan dalam sehari pula ada dalam RM100. Kalau tiada barang, mungkin (pendapatan) dalam RM70, RM80,” jelasnya
Katanya, dia perlu membayar lesen bernilai RM360 setahun kepada MDKpr untuk menjalankan tugas di situ memandangkan tapak pelupusan itu adalah di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Urus sampah sejak 2024
Dalam perkembangan berkaitan, Pengurus Waja Pelangi Enterprise, Hasbullah Razally yang menguruskan tapak pelupusan sampah itu pula berkata, pihaknya bekerjasama dengan MDKpr sejak 2024.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan sampah-sampah yang dibuang akan diurus dengan betul dalam operasi yang bermula dari jam 7.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari.
Katanya, setiap hari kutipan sampah mececah sehingga 60 tan sehari dan pada hari minggu mereka akan turun padang untuk menguruskan sampah pukal.
‘Scavenger’ bantu pengasingan sampah
“Kerja pengasingan dilakukan scavenger dan hasil yang diperoleh akan jadi sumber pendapatan mereka. Operator yang menggerakkan jentera seperti jengkaut dan jentolak di sini amat cakna dengan keselamatan scavenger.
“Sehubungan itu, nasihat saya kepada masyarakat di luar sana supaya jangan mudah membuang sampah merata-rata dan sayangilah alam sekitar dan negeri kita,“ ujarnya.
Kutipan harian sehingga 60 tan sehari
Sementara itu, Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias berkata, kutipan sampah yang dilakukan di daerah itu adalah dari pintu ke pintu dan dibahagikan kepada empat zon melibatkan empat syarikat yang dilantik dan beroperasi sebanyak tiga kali seminggu.
Menurutnya, kutipan harian dianggarkan sekitar sehingga 60 tan sehari dan pihaknya turut melakukan kutipan sampah pukal.
“Kutipan pukal ini untuk kutipan sampah-sampah besar, contoh almari, kerusi. Pihak premis ataupun masyarakat boleh semak jadual kutipan pukal ini untuk letak barang-barang yang nak dibuang di luar termasuk sisa kebun atau sisa pokok yang dipotong.
“Dalam masa yang sama, dengan kerjasama kerajaan negeri, kita turut menyediakan kutipan sampah luar PBT atau kutipan di kampung-kampung.
“Peruntukan ini diberi oleh kerajaan negeri untuk kita bantu kampung-kampung yang tersenarai,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Kampar, baru-baru ini.
Tambahnya, kutipan yang turut dilakukan tiga kali seminggu itu bukan menggunakan kaedah dari pintu ke pintu sebaliknya PBT menyediakan tong sampah roro ataupun tong leachbin di 15 kampung terpilih.
Tapak pelupusan dijangka mampu bertahan 10 hingga 15 tahun
Ahmad Suqairy berkata, tapak pelupusan sampah seluas 33.84 hektar yang terletak di Sungai Siput Selatan itu dijangka mampu bertahan sekitar 10 hingga 15 tahun sahaja pada kadar semasa.
“Walau bagaimanapun kita perlu mengurangkan kadar sampah domestik dan yang kita nampak sekarang adalah kaedah kitar semula,” katanya.
Cadang teroka kaedah WTE, MRF urus sisa pepejal
Beliau menjelaskan, kaedah pelupusan secara bukan konvensional perlu diteroka antaranya kaedah pengurusan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) sama ada menerusi pembakaran ataupun kaedah lain.
“Mungkin juga kita ke arah MRF (kemudahan pemulihan bahan) ataupun pengasingan di tapak pelupusan kami. Sekarang bila sampah sampai, kita asingkan di tapak dan kitar semula.
“Setakat ini, kita melantik lima scanvenger berlesen untuk mengutip sampah yang boleh dikitar semula secara harian. Bagaimanapun impaknya masih rendah jika dibandingkan dengan kuantiti sampah harian.
“Maknanya kita kena cari tapak baru ataupun kita kena buat tutup selamat tapak pelupusan ini. Jadi, kita perlu ada kaedah baharu untuk mengurangkan lambakan sampah di tapak pelupusan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dari hobi ke punca rezeki, belia Lenggong menekuni seni inai