‘Cicit Wan Lebo’ perkenal seni, budaya Perak

IPOH – Daerah Perak Tengah boleh dijadikan sebagai perintis bagi penggiat teater untuk memperkenalkan seni dan budaya kepada masyarakat di Perak menerusi pementasan teater Cicit Wan Lebo.

Penasihat Program Teater Cicit Wan Lebo, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, program seumpamanya membantu mengetengahkan keistimewaan yang terdapat di daerah sekitar negeri ini dari segi nilai sejarah, warisan, seni, budaya, makanan dan loghat bahasa.

Menurutnya, ia perlu dibawa dalam bentuk penceritaan selain daripada yang bersifat moden seperti drama ataupun filem.

“Seni ataupun budaya perlu kita angkat di mana-mana juga sebenarnya kerana ia hidup dan melibatkan pengkisahan setempat termasuklah teater tersebut.

“Mungkin orang akan lihat teater ini biasanya dimainkan di auditorium dan sebagainya tetapi kini kita bawa ke lapangan seperti cerita bangsawan zaman dahulu.

“Ini adalah satu penceritaan zaman dahulu yang diangkat dalam bentuk teater yang akan dipentaskan di Dewan Ngah Sagor, Parit bermula 26 hingga 28 September ini secara percuma,” katanya.

Parit jadi perintis perkenal seni, budaya menerusi teater Cicit Wan Lebo
Pementasan teater yang dipersembahkan pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 SEPTEMBER 2024.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak, di sini psada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Teater Wan Lebo, Amran Nasrudin dan Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd Nizar berkata, pementasan teater ini secara tidak langsung turut membantu menyemarakkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

“Pada saya kekuatan untuk TMP 2024 perlu melibatkan semua pihak dengan memainkan peranan masing-masing dan tidak boleh serah kepada jabatan atau agensi bagi memperkenalkan Perak kepada orang luar apa produk, benda yang ada di tempat kita

“Ini yang kita jelmakan, pamerkan. Contoh homestay (inap desa) di mana tempat dii kampung pun orang penuh, tetapi kalau hanya ada homestay tetapi tidak ada makanan, kesenian ia hanya akan duduk begitu saja.

“Tetapi kalau kita lengkapkan infra, kemudahan lain orang akan pergi. Justeru, rakyat, komuniti dan pemimpin setempat khususnya perlu tonjolkan apa yang ada di tempat masing-masing. Naru ada orang datang ke tempat tersebut. Itu resipi untuk kita menghidupkan suasana,“ ujarnya.

Parit jadi perintis perkenal seni, budaya menerusi teater Cicit Wan Lebo
Penasihat Program Teater Cicit Wan Lebo, Datuk Mohd Nizar Zakaria (duduk, tengah) bergambar bersama pementasan teater selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Perak, Ipoh. Turut sama Pengarah JKKN Negeri Perak, Abd. Rashid Abdullah (duduk, tiga dari kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 SEPTEMBER 2024.

Cicit Wan Lebo mengisahkan mengenai seorang bidan kampung, Wan Lebo yang mahir dalam perubatan tradisional untuk wanita mengandung dan bersalin.

Dia mengharapkan cucunya, Senah menjadi pewarisnya selepas dia tiada nanti, namun Senah berminat untuk menjadi jururawat dan hasratnya kurang dipersetujui Wan Lebo.

Antara pelakon yang akan menjayakan teater ini termasuklah Anne Zanureen yang melakonkan watak Wan Lebo, anak jati Bota, Parit, Perak; Mubarak Majid; Reza Hasbi; Dewa Sapri serta penampilan istimewa Datuk Imuda, Zarina Zainuddin dan Raisuddin Hamzah.

Sebelum ini, teater tersebut pernah dipentaskan Auditorium Tunku Abdul Rahman, MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada tahun 2021. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seni budaya bukan hiburan semata-mata – Pengarah JKKN Perak

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI