IPOH – Berlatarbelakangkan pendidikan dalam bidang undang-undang bukanlah penghalang buat Naqib Islah Afifi Mohd Rafie untuk memperkenalkan dunia seni dan kraftangan kepada orang ramai.
Pemuda berusia 26 tahun dari Kuala Lumpur ini membuka Cipta Karya bukan sekadar bengkel seni semata-mata, tetapi sebuah pengalaman interaktif untuk sesiapa sahaja yang ingin menyelami dunia kraftangan, khususnya batik.
Menurutnya, bengkel seni yang beroperasi sejak Disember tahun lalu itu terletak di Jalan Bijeh Timah berhampiran dengan lokasi pelancongan terkenal Concubine Lane (Lorong Panglima), di sini.
“Sebelum memulakan bengkel ini, saya membuat kajian terlebih dahulu dan melihat Ipoh adalah lokasi cukup sinonim dengan seni dan budaya. Tempat ini, lebih tenang, sesuai untuk melakukan aktiviti sedemikian.
“Kami fokuskan aktiviti seperti mewarna batik. Selain itu, pengunjung boleh membuat keychain (rantai kunci), pelapik minuman dan pembuatan lilin.
“Mereka yang mengikuti bengkel ini tidak perlu pengalaman dan kita boleh memberi panduan kepada mereka dari mula projek hingga produk siap sepenuhnya.
“Cipta Karya memberi peluang kepada pasangan, keluarga mahupun pelancong untuk menghabiskan masa bersama-sama,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Rabu.
Foto Syakir Yusof
Pengasas Cipta Karya itu berkata, harga yang ditawarkan bagi mengikuti bengkel seni tersebut bermula dari RM29 hingga maksimum RM75.
Tambahnya, bengkel ini menawarkan pengalaman antara satu hingga empat jam, bergantung kepada jenis aktiviti dan tempoh masa pengunjun ambil untuk menyiapkannya.
“Kalau lebih masa pun kita tak caj, yang penting mereka puas hati dan ‘enjoy’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Niqab Islah Afifi memaklumkan, segala kit untuk menghasilkan projek seni tersebut turut disediakan di bengkel berkenaan.
“Sepanjang enam bulan beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya pada waktu cuti dan hujung minggu.
“Bengkel ini bukan sahaja menarik minat penduduk tempatan, malah turut menjadi tumpuan pelancong luar negara yang tertarik dengan pengalaman mewarna batik,” jelasnya.
Foto Syakir Yusof
Anak kelima daripada 14 adik beradik ini juga berpandangan bahawa Ipoh adalah lokasi strategik untuk memperkenalkan seni tempatan terutamanya kepada pelancong asing.
“Jadi, kita ambil kesempatan itu untuk perkenalkan batik dan kraftangan tempatan,” katanya lagi.
Cipta Karya beroperasi setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 7 petang, dan pada hujung minggu, ia dibuka sehingga jam 9 malam.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan untuk mengikuti bengkel secara dalam talian melalui laman web rasmi mereka di www.myciptakarya.com atau datang sendiri ke kedai mereka. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun