KUALA LUMPUR – Langkah Mahkamah Persekutuan memberikan “cooling-off” ( tempoh kembali, meneliti dan pertimbang semula) dalam kes pendakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu dihormati dan wajar difahami semua pihak.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia merupakan isyarat kehakiman yang menekankan prinsip tanggungjawab, kewibawaan dan kebijaksanaan dalam pendakwaan, khususnya pada peringkat mahkamah tertinggi negara.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu juga bukan petunjuk kepada keputusan akhir, sama ada untuk mensabitkan atau mengekalkan pembebasan.
“Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa rayuan jenayah tidak wajar diteruskan secara teknikal, tetapi perlu berasaskan kekuatan undang-undang dan kepentingan keadilan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang mengarahkan pihak pendakwaan supaya ‘kembali, meneliti dan pertimbang semula’ pendirian mereka dalam rayuan mengetepikan keputusan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Arahan luar jangka itu bagi membolehkan pihak pendakwaan menyemak semula hasrat sama ada mahu meneruskan rayuan terhadap pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan itu atau sebaliknya.
Sementara itu, Jais berkata, MCW menghormati peranan dan kebebasan pendakwa raya dalam kes terbabit, namun kuasa budi bicara pendakwaan membawa tanggungjawab besar terutama apabila sesuatu kes berada di Mahkamah Persekutuan dan berpotensi membentuk preseden undang-undang negara.

Ujarnya, pihak pendakwa raya perlu menilai secara jujur sama ada wujud bukti mencukupi untuk membuktikan niat jenayah dan manfaat peribadi dalam kes itu.
Selain itu, kata beliau, pendakwa raya juga perlu menilai sama ada isu yang timbul adalah lebih menjurus kepada kegagalan tadbir urus dan pelanggaran prosedur dalaman.
“MCW menegaskan bahawa tidak semua perlanggaran prosedur kewangan secara automatik merupakan rasuah jenayah, walaupun ia tetap serius dan tidak boleh diterima.
“Kita juga tegas berpendirian bahawa wang pertubuhan atau parti bukan milik peribadi mana-mana individu dan sebarang pengeluaran dana tanpa kelulusan sah boleh menimbulkan unsur pecah amanah yang perlu dinilai dengan teliti,” katanya.
Dalam pada itu, Jais mengingatkan sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Syed Saddiq kelak akan membawa implikasi besar kepada persepsi awam terhadap integriti pengurusan dana organisasi dan parti politik serta standard akauntabiliti pemimpin awam, khususnya pemimpin muda.
Sehubungan itu, ujarnya, keadilan dalam kes itu bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi perlu dilihat ditegakkan dengan alasan penghakiman yang jelas, telus dan berprinsip.
“MCW menyeru semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal, -tidak mempolitikkan proses kehakiman dan memberi ruang sepenuhnya kepada Mahkamah Persekutuan untuk menjalankan tugasnya secara bebas dan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette


