Covid-19: Pelajar digalak buat pemeriksaan kendiri sebelum masuk sekolah

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menggalakkan pelajar melakukan pemeriksaan kendiri sebelum hadir ke sekolah bagi membantu pengesanan awal jangkitan Covid-19.

Exco Pendidikan Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini bagi mengelakkan peningkatan atau tercetusnya kluster pendidikan di negeri ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah mengeluarkan pekeliling bahawa sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa tetapi jika ada kes melibatkan Covid-19 pelajar perlu menjalani kuarantin.

“Kalau ada pelajar mempunyai tanda-tanda sebagai kontak rapat atau terlibat dengan Covid-19, mereka perlu buat saringan dan kalau spositif, bagi pelajar yang duduk di asrama mereka akan diletakkan di bilik isolasi atau pengasingan.

“Manakala pelajar yang tidak tinggal di asrama, kita akan minta mereka menjalani proses kuarantin di rumah.

“Itu antara pendekatan yang dibuat oleh KPM berdasarkan oleh arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Maksudnya pihak sekolah telah diberi arahan dan menerima pekeliling tersebut sebagai tindak susul dan langkah pencegahan penularan Covid-19 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Perak Kali ke-26 di Dewan Serbaguna Kompleks Belia dan Sukan di sini, pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, dalam pekeliling tersebut, pelajar-pelajar digalakkan untuk memakai pelitup muka dan tidak diwajibkan untuk berbuat demikian.

“Kita menggalakkan pelajar-pelajar pakai pelitup muka, bukan wajibkan sebagai proses untuk kawalan kendiri daripada penularan wabak tersebut.

“Dari segi tutup kelas, itu takkan berlaku lagi, cuma kita akan lihat dari segi peningkatan dan penularan kes yang akan berlaku di sekolah-sekolah,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penularan Covid-19 di Perak masih terkawal – Exco

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI