Cuaca, isu teknikal antara faktor padang Stadium Perak lewat siap

GOPENG – Proses menaik taraf padang bola sepak di Stadium Perak dekat sini mengalami sedikit kelewatan berikutan keperluan pematuhan spesifikasi teknikal serta faktor cuaca, namun kerja-kerja masih diteruskan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kelewatan berlaku kerana semua kerja perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, termasuk memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik sebelum projek dapat disiapkan sepenuhnya.

“Ada kelewatan sedikit (kerja naik taraf) sebab sebelum ini memang kita tahu padang tersebut perlu mengikut spesifikasi termasuk sistem perparitan.

“Kerja-kerja tersebut lewat sedikit daripada jadual, tetapi masih dijalankan. Kita harap isu-isu teknikal yang ada boleh diselesaikan dan siap sedia untuk dibuka secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan buah limau bersama Puncak Emas Infra Sdn Bhd kepada peniaga dan penduduk sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Lawan Kuda, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Sandrea berkata, setakat ini tiada perkembangan baharu yang boleh dimaklumkan berkaitan tarikh pembukaan semula padang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, antara isu teknikal yang dihadapi termasuk mendapatkan stok bahan diperlukan serta pelaksanaan kerja-kerja berkaitan, selain faktor cuaca hujung tahun yang sering mengalami musim hujan dan menyebabkan kerja tertangguh.

Projek yang bermula sejak Jun lalu itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta melibatkan penggantian rumput padang jenis Axonopus Putra.

Rumput baharu membabitkan kos RM842,000 itu adalah hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mampu mengatasi masalah air bertakung ketika hujan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Naik taraf padang Stadium Perak jangka siap Januari tahun hadapan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI